Penunggang motor tanpa helmet di Bangladesh dilarang beli bahan api


Di Dhaka, seperti di tempat lain di Asia, melihat lebih dua orang menaiki motosikal dan tanpa memakai topi keledar adalah pemandangan biasa. – Gambar AFP, 5 September, 2018.

PENUNGGANG motosikal yang tidak memakai topi keledar akan dihalang daripada membeli bahan api di stesen minyak di Dhaka, Bangladesh, kata polis.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mengurangkan ketegangan selepas bandar raya yang mempunyai penduduk hampir 20 juta orang itu digegarkan oleh protes mengenai keselamatan jalan raya yang teruk bulan lepas.

“Pam petrol (pemilik) sudah diberitahu agar tidak menjual bahan bakar kepada mana-mana penunggang motor tanpa helmet,” kata Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka Asaduzzaman Mia pada Selasa.

Tambahnya, maksimum dua orang dibenarkan menaiki motosikal dan pemboncengnya juga perlu memakai topi keledar.

Protes di seluruh Dhaka dan beberapa bandar lain pada Ogos menyaksikan puluhan ribu pelajar sekolahpelajar menyekat jalan untuk menuntut keselamatan jalan raya yang lebih baik terhadap rangkaian pengangkutan yang kelam kabut dan rasuah di Bangladesh, selepas sebuah bas dipandu laju merempuh dua murid sehingga mati yang sedang berjalan.

Berikutan bantahan itu, Kabinet Perdana Menteri Sheikh Hasina meluluskan undang-undang pengangkutan baru yang menetapkan hukuman lebih keras bagi pesalah.

Lebuh raya Bangladesh adalah antara yang paling merbahaya di rantau ini dengan sekitar 12,000 kemalangan maut setiap tahun, menurut kumpulan swasta yang memantau kemalangan.

Pada cuti Aidil Adha bulan lepas, 259 orang terbunuh dan 960 orang cedera dalam 237 kemalangan jalan raya dalam tempoh 13 hari.

Di Dhaka, seperti di tempat lain di Asia, melihat lebih dua orang menaiki motosikal adalah pemandangan biasa. Sering kali, tiada seorang pun yang memakai topi keledar. – AFP, 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen