Australia dakwa jet pejuangnya ‘paling merbahaya’ di dunia


Menteri Pertahanan Christopher Pyne berkata demikian sebagai mengulas kritikan ke atas program F-35 Joint Strike Fighter (JSF), yang didakwa membeli pesawat sudah ketinggalan zaman. – Gambar EPA, 5 September, 2018.

KEMENTERIAN Pertahanan Australia pada Rabu mempertahankan jet pejuang F-35A Australia yang terbarunya adalah “paling merbahaya” di dunia, lapor agensi berita Xinhua.

Menteri Pertahanan Christopher Pyne berkata demikian sebagai mengulas kritikan ke atas program F-35 Joint Strike Fighter (JSF), yang didakwa membeli pesawat sudah ketinggalan zaman.

Kerajaan Australia membayar sejumlah AUD$17 bilion (AS$12.2 bilion) kepada Lockheed Martin untuk pembelian 72 pesawat.

Bekas jurutera penerbangan ujian Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Peter Goon, mengkritik sejak awal program itu diumumkan; menerusi simulasi yang dijalankan katanya, jet baharu itu boleh disaingi model lain. 

Namun ia dinafikan Pyne dengan mengatakan pengkritik tidak mempunyai akses kepada semua maklumat disediakan kepada kerajaan.

“Berdasarkan pandangan dan taklimat diberikan pada saya, pesawat F-35A adalah yang terbaik berbanding lain,” katanya kepada News Corp Australia.

Program itu sering dikritik sejak Australia mengumumkan akan mengambil bahagian dalam “pembangunan sistem dan fasa demonstrasi” JSF pada 2002.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berkata pada Disember 2017 bahawa faktor kos yang dikaitkan dengan program menjadikan isu itu “tidak terkawal.”

RAAF mempunyai enam pesawat di pangkalan udara AS untuk melatih juruterbang dan krew darat, dua pesawat pertama akan dihantar ke pangkalan RAAF pada Disember dan dijangka mula digunakan pada 2020. – Bernama, 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen