PELAN damai bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin yang disediakan Rumah Putih sudah siap dan akan dibentangkan tidak lama lagi, lapor agensi berita Xinhua memetik Duta Besar Amerika Syarikat, Nikki Haley.
“Saya sudah membaca pelan itu, Ia sudah siap,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB pada Selasa.
Beliau berkata perincian mengenai pelan damai itu banyak melibatkan Jared Kushner dan Jason Greenblatt.
“Kushner adalah menantu Presiden Donald Trump dan penasihat kanan bagi Timur Tengah sementara Greenblatt wakil perdamaian di Timur Tengah dan Rundingan Antarabangsa,” katanya.
Terdapat laporan mengatakan Rumah Putih sedang dalam proses untuk mendedahkan pelan damai yang disifatkan Trump sebagai “perjanjian abad ini”.
Ditanya bila Trump akan mendedahkan pelan damai itu, Haley berkata “Bila bos hadir ke meja rundingan”.
“Kami beri jaminan (Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu) akan ke meja rundingan…Presiden Palestin Mahmoud Abbas, demi kebaikan rakyatnya, perlu datang ke meja rundingan,” katanya. – Bernama, 5 September, 2018.
Komen