Lapangan terbang utama Jepun ditutup akibat taufan Jebi


Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat taufan Jebi yang melanda Jepun.– Gambar EPA, 5 Spetember, 2018.

LAPANGAN terbang utama terhenti operasi apabila taufan melanda menyebabkan satu-satunya jalan masuk tertutup, dan lapangan terbang itu terpaksa dikosongkan hari ini, ketika Jepun berdepan bencana ribut paling kuat dalam tempoh 25 tahun terakhir ini.

Bot-bot dilihat membawa penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Kansai – salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di negara itu – selepas ribuan penumpang terpaksa bermalam di bangunan yang sebahagiannya ditenggelami banjir.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, dengan ratusan yang lain cedera akibat taufan Jebi selepas ia melanda kawasan perkilangan utama di sekitar Osaka – bandar kedua terbesar di Jepun – memusnahkan infrastruktur dan rumah.

Dengan kelajuan 216km sejam, taufan itu menerbangkan bumbung, menyebabkan trak terbalik dan menerbangkan lori tangki di atas jambatan yang sedang menuju ke lapangan terbang itu.

Kemusnahan di jambatan menyebabkan pulau buatan itu terputus hubungan, mengakibatkan 3,000 penumpang dan kakitangan terkandas dan bermalam di situ, semalam.

Landasan kapal terbang dibanjiri air ombak hingga ke dalam bangunan itu, menyebabkan bekalan elektrik terjejas.

Hari ini, ratusan penumpang berjaya dibawa keluar menggunakan bot ke Kobe, tetapi setakat tengah hari tadi lebih 2,000 masih menunggu bantuan.

Setakat ini tidak ada petanda menunjukkan lapangan terbang itu yang mengendalikan 400 penerbangan sehari, akan dapat dibuka.

“Bekalan elektrik terputus, jadi suasana sangat panas,” kata seorang wanita.

Kira-kira 2.4 juta isi rumah terputus bekalan elektrik akibat ribut itu, dengan hanya separuh daripada jumlah itu berjaya mendapatkan semula elektrik pada pagi tadi.

Lebih 1.2 juta orang dinasihatkan meninggalkan rumah masing-masing ketika Jebi diramalkan tiba di kawasan Kansai. Kira-kira 16,000 setakat ini bermalam di pusat perlindungan. – AFP, 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen