KERAJAAN junta Thailand menafikan terbabit dengan kehilangan pengkritik kerajaan monarki daripada negara jirannya Laos selepas timbul laporan mendakwa dia dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata.
Wuthipong Kachathamakul, yang dikenali dengan nama Ko Tee merupakan pemimpin kumpulan ala militan anti-junta gerakan “baju merah” yang lantang mengkritik kerajaan monarki Thailand.
Dia melarikan diri selepas tentera merampas kuasa pada 2014, sekaligus menyingkirkan kerajaan Yingluck Shinawatra yang disokong gerakan Baju Merah, dan tinggal di Laos di mana dia terus mengkritik junta dalam siri video dan siaran radio.
Sejak minggu lalu, timbul laporan daripada penyokongnya yang mendakwa Ko Tee dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata dari rumahnya di Vientiane Khamis lalu.
Laporan itu menyebut isteri dan rakannya diikat, ditutup mata, dibelasah dan diserang dengan perenjat elektrik. Ko Tee didakwa dilarikan.
Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan wartawan masih belum dapat menemubual isteri atau rakannya yang terbabit.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia dalam satu kenyataan berkata, “laporan itu menimbulkan kegusaran berhubung keselamatanya (Ko Tee)” dan meminta pihak berkuasa Laos menyiasat perkara itu.
Setelah dakwaan itu mendapat liputan meluas media, pihak berkuasa tentera Thailand pada Selasa menafikan pembabitan mereka dan menuduh pihak yang ada hubungan dengan Ko Tee menyebarkan khabar angin.
“Kita perlu menyiasat lebih lanjut kerana ada beberapa kemungkinan mengapa dia (Ko Tee) menghilangkan diri untuk mengada-adakan cerita,” kata ketua setiausaha Majlis Keselamatan Thailand, Jeneral Thawip Netniyom kepada pemberita.
Tambahnya, pihak berkuasa Thailand kini “memantau” Ko Tee dan hubungannya di Laos serta menggesa pihak berkuasa negara itu mengekstradisinya. “Namun kita masih belum melaksanakan langkah lanjut,” katanya. – AFP, 1 Ogos, 2017.
Komen