TIGA lelaki warga Britain didakwa di mahkamah Singapura atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika menghadiri parti di sebuah bandar di negara itu.
Khong Tam Thanh, 22, Le Michael, 24, dan Vu Thai Son, 24, berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan sebat jika didapati bersalah menyerang wanita warga Malaysia yang mabuk dan tidak sedarkan diri ketika kejadian.
Ketiga-tiga warga Britain berketurunan Vietnam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Dalam kenyataan awal, pendakwaraya berkata defendan berada di Singapura pada September untuk menghadiri parti dan menghadiri festival muzik Ultra Singapore.
Mereka bertemu wanita terbabit di sebuah lokasi tumpuan hiburan malam di mana wanita berkenaan sedang berhibur dengan rakan.
Selepas itu, wanita terbabit bersetuju untuk mengadakan hubungan seks dengan salah seorang rakan mereka, iaitu warga Britain berketurunan Vietnam yang dikenali sebagai Richard Ahn, dia kemudiannya membawa wanita berkenaan ke bilik hotel.
Selepas selesai mengadakan seks, Khong, Le dan Vu kemudiannya bergilir-gilir memasuki bilik hotel itu dan merogol wanita terbabit yang mabuk dan tidak sedarkan diri.
“Setelah bersetuju mengadakan hubugan seks dengan seorang individu, dia kemudiannya dirogol tiga lelaki lain,” kata Timbalan Pendakwaraya G. Kannan kepada Mahkamah Tinggi Singapura.
“Mabuk dan tertidur, dia tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia diambil kesempatan dan dirogol bergilir-gilir ketiga-tiga tertuduh.”
Kesemua tertuduh berdepan satu tuduhan rogol ketika awal pagi pada 10 September tahun lalu. Khing dan Vu yang bekerja sebagai jurusolek di Britain berdepan tuduhan tambahan serangan seksual. Le adalah penganggur.
Ahn, 24, melarikan diri ketika di bawah siasatan. Dia dipercayai berada di Johor Bahru. Mangsa bagaimanapun tidak dapat dinamakan berikutan perintah mahkamah untuk meindungi identitinya. – AFP, 1 Ogos, 2017.
Komen