PENDAKWA raya Los Angeles semalam berkata tidak bercadang memfailkan pertuduhan serangan seksual dalam tiga kes berasingan membabitkan pelakon Kevin Spacey, Steven Seagal dan Anthony Anderson.
Pejabat Peguam Daerah Los Angeles berkata kes membabitkan Spacey dan Seagal tidak diteruskan kerana had tempoh sudah berakhir sementara kes terhadap Anderson digugurkan kerana mangsa enggan ditemu bual oleh polis.
Spacey, yang hilang peluang berlakon dalam siri terkenal “House of Cards” susulan pertuduhan salah laku seksual itu ketika skandal Harvey Weinstein hangat diperkatakan, didakwa melakukan serangan terhadap seorang kenalannya yang tidak dinamakan pada 1992.
“Tuduhan itu melepasi had tempoh, maka analisis terhadap kekukuhan dan kelemahan bukti tidak dapat dijamin,” kata pejabat pendakwa raya.
Kes terhadap bintang filem aksi Seagal, yang dituduh menyerang seorang kenalannya berusia 18 tahun pada 1993, juga digugurkan atas sebab sama.
Anderson pula didakwa menyerang seorang wanita pada musim bunga lalu tetapi mangsa terbabit dikatakan enggan ditemu bual oleh pegawai penyiasat, kata pejabat pendakwa raya.
Wanita terbabit memberitahu polis bahawa serangan berlaku di tempat yang sama aktor itu berada untuk satu acara. Anderson menafikan dakwaan itu.
Spacey dan Seagal berdepan dengan kes lain yang pada masa ini sedang dalam siasatan.
Spacey juga sedang disiasat atas kesalahan salah laku seksual di London.
Seagal menafikan semua tuduhan terhadapnya. – AFP, 5 September, 2018.
Komen