BANJIR kilat serta tanah runtuh akibat hujan lebat di wilayah utara dan tengah Vietnam sejak lewat minggu lepas telah meragut 14 nyawa manakala empat lagi masih hilang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jawatankuasa Pemandu Pusat bagi Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam pada Selasa.
Menurut jawatankuasa itu, setakat pagi Selasa, banjir dan tanah runtuh telah meragut sembilan nyawa manakala tiga orang hilang di wilayah tengah Thanh Hoa.
Sementara itu, banjir telah menyebabkan seorang maut masing-masing di lima wilayah utara iaitu Hoa Binh, Yen Bai, Son La, Lang Son dan Lai Chau manakala seorang hilang di Lai Chau.
Insiden banjir dan tanah runtuh turut memusnahkan 375 rumah dan menenggelami sejumlah 5,735 hektar kawasan sawah padi serta tanaman lain serta merosakkan 1,046 hektar kolam akuakultur, daik sepanjang 620 meter dan terusan berukuran 7,924 meter panjang.
Bencana alam, kebanyakannya taufan, banjir dan tanah runtuh, telah mengorbankan atau menyebabkan 153 orang hilang serta mencederakan sejumlah 119 lagi, dan mengakibatkan kerugian harta benda bernilai lebih AS$304.3 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam. – Bernama, 4 September, 2018.
Komen