TAUFAN paling kuat melanda Jepun dalam tempoh 25 tahun pada Selasa, meragut dua nyawa dan menyebabkan ramai tercedera selepas dia membadai kawasan barat negara itu.
Angin kuat yang dibawa taufan berkenaan menyebabkan bumbung rumah tercabut dan lori di atas jejambat terbalik serta menghanyutkan kapal tangki yang berlabuh di pantai Osaka berhampiran jambatan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.
Ombak tinggi yang dicetuskan taufan berkenaan turut menyebabkan beberapa kawasan lapangan terbang di pesisir pantai banjir, manakala semua penerbangan dibatalkan.
Taufan berkenaan turut menyebabkan bekalan elektrik terputus sekaligus menimbulkan masalah perjalanan di kebanyakan tempat di negara berkenaan.
Taufan Jebi melanda negara berkenaan pada waktu tengah hari, membadai di kawasan barat negara itu dengan angin berkelajuan 216 kilometer sejam.
Media tempatan melaporkan dua kematian dalam taufan berkenaan, termasuk lelaki berusia 71 tahun selepas terperangkap di bawah runtuhan gudang akibat angin kencang.
NHK melaporkan 97 orang cedera di sepanjang laluan taufan berkenaan, namun tiada kecederaan serius dilaporkan. – AFP, 4 September, 2018
Komen