Tentera Syria sedia 'selesaikan' masalah 'pengganas' di Idlib, kata Kremlin


Tentera Syria kini menguasai wilayah barat laut sebagai persediaan untuk melancarkan serangan di Idlib. – Gambar EPA, 4 September, 2018

 KREMLIN pada Selasa berkata tentera Syria bersiap sedia untuk menyelesaikan masalah “pengganas” di kubu kuat pemberntak di Idlib, merujuk kepada serangan rejim yang semakin memuncak.

“Kita tahu yang tentera Syria sedang bersedia untuk menyelesaikan masalah ini,” kata jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov, dan menyifatkan Idlib sebagai “poket keganasan”.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang rangka waktu. Beliau juga enggan mengulas berhubung laporan pesawat pejuang Rusia yang melancarkan serangan di Idlib pada awal Selasa. Kementerian pertahanan Rusia juga tidak mengulas berhubung perkara itu. 

Peskov berkata, sejumlah “pengganas” kini berada di kubu kuat terakhir itu, yang membawa kepada “ketidakstabilan situasi yang besar”.

“Ini menjejaskan percubaan untuk menolak situasi ke arah penyelesaian politik dan diplomatik dan yang paling penting memberikan ancaman penting bagi kemudahan sementara kami,” katanya.

“Tidak syak lagi, seseorang perlu menangani masalah ini.”

Idlib dikuasai oleh pelbagai kumpulan pemberontak dan jihad yang kompleks, kebanyakannya telah disenarai hitam sebagai “pengganas” oleh kuasa dunia.

Pasukan kerajaan Syria kini menguasai wilayah barat laut sebagai persediaan untuk serangan itu.

Presiden AS Donald Trump pada hari Isnin memberi amaran kepada Syria berhubung pelancaran serangan terhadap Idlib dengan bantuan Rusia dan Iran, mengatakan serangan itu boleh mencetuskan “tragedi kemanusiaan.”– AFP, 4 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen