DUA lelaki disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah di India pada Selasa kerana terbabit dengan insiden letupan bom berkembar di Hyderabad selatan India pada 2007, meragut 44 nyawa dan mencederakan 68 yang lain.
Menurut Xinhua, hukuman ke atas kedua-dua tertuduh akan diputuskan pada Isnin.
Walaupun polis menahan lima lelaki dan didakwa bersama dua lagi yang masih bebas, mahkamah membebaskan tiga yang lain.
“Hanya dua tertuduh disabitkan bersalah iaitu Mohammed Akbar Ismail Chowdhari dan Aneeq Shafique Sayeed, yang lain dibebaskan,” kata seorang peguam.
Menariknya, perbicaraan kes terhadap lima tertuduh itu dijalankan di kamar mahkamah yang terletak di dalam Pusat Penjara Cherlapalli, di mana tertuduh ditahan.
Letupan berkembar di sebuah restoran terkenal, mengorbankan 32 orang, manakala letupan di teater terbuka di Lumbini Park, beberapa meter dari bangunan sekretariat negeri pula meragut 12 nyawa.
Sehari kemudian, polis tempatan menemui 19 butir bom yang tidak meletup. Penyiasat mendakwa kumpulan Mujahideen India merupakan dalang di sebalik serangan itu. – Bernama, 4 September, 2018
Komen