Hishammuddin disoal siasat SPRM selepas dikait dengan bekas ketua perisik


Alfian Z.M. Tahir

Hishammuddin Hussein memberitahu The Malaysian Insight yang beliau secara sukarela memberi kenyataan selepas namanya disebut ketika permohonan bekas ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid di mahkamah pada Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menyoal siasat Ahli Parlimen Umno Hishammuddin Hussein berhubung siasatan kes rasuah melibatkan bekas ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid.

Sumber SPRM mengesahkan bekas menteri pertahanan itu disoal selama tiga jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya tanpa memberi butiran lain.

Hishammuddin memberitahu The Malaysian Insight yang beliau secara sukarela memberi kenyataan selepas namanya disebut ketika permohonan reman Hasanah di mahkamah pada Sabtu.

Peguam Hasanah, Shaharudin Ali, memberitahu pemberita bahawa timbalan pendakwa raya mahu melanjutkan tempoh reman bekas ketua perisik Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO) itu kerana ingin menyoal Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi berhubung kes tersebut.

Permohonan lanjutan reman itu juga kerana SPRM mahu menjejak baki dana yang hilang dan beberapa utas jam tangan mewah, selain daripada mengesan pergerakan serta menggeledah kediaman Hasanah.

Mahkamah hanya membenarkan reman tujuh hari yang dikeluarkan terhadap Hasanah sebelum ini dilanjutkan selama sehari.

Peguam bekas ketua perisik Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO), Hasanah Abdul Hamid berkata timbalan pendakwa raya mahu melanjutkan tempoh reman wanita itu kerana ingin menyoal Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi berhubung kes tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

“Saya berjumpa dengan mereka (SPRM) kerana peguam itu kata saya akan dipanggil. Saya juga akan menyemak dengan SPRM mengenai apa yang dikatakan peguam itu,” Hishammuddin memberitahu The Malaysian Insight menerusi mesej teks.

“Saya jumpa SPRM dengan sukarela dan saya akan beri kerjasama  penuh tanpa rasa gentar atau pilih kasih. Mereka amat profesional dan saya percaya mereka akan siasat perkara ini dengan adil dan telus.

“Saya telah beri kenyataan dan saya bekerjasama dengan sepenuhnya.”

Hasanah ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan terhadap penangkapan lapan pegawai risikan dari Jabatan Perdana Menteri atas dakwaan menyalahgunakan sejumlah AS$12 juta (RM49.5 juta), yang dibawa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Lapan pegawai berkenaan dikatakan bekas pegawai MEIO d mana Hasanah adalah bekas ketua pengarah.

Juga difahamkan, SPRM kini sedang cuba untuk menentukan jika sebahagian daripada AS$12 juta itu diserah kepada Hishammuddin.

Susulan penahanan Hasanah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi rasuah itu telah merampas AS$6.3 juta dari beberapa lokasi ketika siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana oleh bekas pegawai-pegawai risikan kerajaan.

Jumlah terbesar sebanyak AS$4.07 juta ditemui di kondominium di Cyberjaya pada minggu lepas.

Hasanah dibebaskan semalam. – 4 September, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen