PENYAKIT kencing tikus dan penyakit lain telah mengorbankan 14 orang di Kerala selepas banjir terburuk berlaku di daerah itu, kata pihak berkuasa pada Selasa.
Jumlah mangsa korban banjir yang memaksa lebih sejuta orang dipindahkan di Kerala bulan lepas juga telah meningkat kepada 486 orang, kata kerajaan.
“Kami menjangkakan penyakit kencing tikus disebabkan pencemaran air dan telah mengambil semua langkah mengedarkan vaksin di kem penempatan,” kata Pengarah Kesihatan Kerala Sarita R L kepada AFP.
Kencing tikus yang berjangkit melalui air mengandungi air kencing tikus dan binatang lain telah membunuh enam orang dan lebih 100 orang lain pula dijangkiti, lapan lagi maut kerana penyakit lain.
Kes malaria, dengi dan demam campak juga meningkat. Lebih 5,100 orang mengalami cirit birit teruk, kata pihak berkuasa.
Banjir telah surut dan kurang 10,000 orang masih berada di pusat penempatan sementara, berkurangan daripada 1.4 juta ketika bencana itu memuncak.
Musim hujan yang berlangsung pada Jun hingga September menyebabkan bencana alam di seluruh Asia Selatan setiap tahun.
Jumlah kematian di India tahun ini adalah 1,400 di 10 negeri, dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan lagi.
Di negeri Nagaland, 11 orang maut dan 50,000 dari 530 kampung terperangkap apabila jalan raya terputus.
Ketua Menteri Nagaland Neiphiu Rio menerusi Twitternya merayu bantuan menyertakan gambar kerosakan teruk dan berkata 10 pusat pemulihan sudah dibuka.
Di negeri Uttar Pradesh dan Uttarakhand pula hampir 270 orang terbunuh. – AFP, 4 September, 2018.
Komen