Hukuman jenayah syariah bukan undang-undang baharu


SAYA membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang menggesa kerajaan untuk mengkaji semula hukuman sebatan yang termaktub dalam undang-undang jenayah Syariah sebagai respon mereka terhadap pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu semalam.

Hukuman sebatan syariah ini bukanlah peruntukan baru yang dibuat di dalam undang-undang Syariah di negara ini, memandangkan ianya telah ditetapkan sejak tahun 2001. Malah hukuman ini juga telah digunapakai oleh Mahkamah Syariah di negeri lain, seperti kes di Mahkamah Syariah Tawau beberapa tahun lepas. Justeru adalah tidak wajar ianya dipertikaikan.

Gesaan yang dibuat oleh pihak JAG untuk menyatukan undang-undang jenayah di bawah satu kanun keseksaan juga langsung tidak relevan. Jika dilihat dari satu aspek, kaedah sebatan yang digunakan oleh Mahkamah Syariah ini adalah berbeza sama sekali dengan kaedah sebatan sivil. Hukuman sebatan syariah masih melindungi maruah pesalah. Hal ini menegaskan bahawa hukuman ini dibuat adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan menolak dakwaan yang menyatakan hukuman ini tidak berperikemanusiaan atau bersifat kejam.

Tambahan pula, hukuman yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam dilakukan di dalam dewan bicara dan bukannya di tempat terbuka. Maka tidak timbul isu martabat pesalah direndahkan ataupun pesalah dimalukan.

Saya juga dimaklumkan Mahkamah Syariah sentiasa membuka ruang untuk pesalah membuat rayuan. Dalam kes semalam juga dimaklumkan, pesalah telah diberi ruang untuk merayu tetapi mereka tidak berbuat demikian. Dengan kata lain mereka sendiri mengakui kesalahan yang dilakukan, memahami kesan dari pengakuan salah dan menerima hukuman yang ditetapkan tanpa sebarang bantahan. Justeru tidak timbul isu ada pihak yang didiskriminasi oleh undang-undang Syariah.

Saya berpandangan pihak JAG atau mana-mana pihak yang menyatakan tentangan terhadap hukuman semalam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, memandangkan negara kita telah mengiktiraf dua sistem perundangan ini secara sah, iaitu sistem perundangan syariah dan sistem perundangan sivil. Justeru semua pihak wajib menghormati sistem undang-undang yang sedia ada ini bagi menjamin kedaulatan negara.

Saya juga berpendirian, selagi mana hukuman yang dijalankan melalui proses dan kerangka undang-undang yang sah, maka keputusan pihak penguatkuasa, di mana  dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu wajar dihormati. Apa yang penting adalah proses pelaksanaannya adil dan tiada pilih kasih mahupun unsur diskriminasi. – 4 September, 2018.

*Dr Siti Mariah Mahmud adalah Ketua Wanita Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen