Taliban Afghanistan umum kematian ketua militan Haqqani


Pengasas jaringan Haqqani, Jalaluddin Haqqani diumumkan meninggal dunia kerana sakit, namun bila dan di mana beliau meninggal dunia tidak diketahui. – Gambar AFP, 4 September, 2018.

PENGASAS jaringan Haqqani, salah satu kumpulan militan paling efektif dan ditakuti di Afghanistan, meninggal dunia kerana sakit, umum sekutu Taliban Afghanistan mereka hari ini.

Jalaluddin Haqqani, meninggal dunia selepas sekian lama bertarung melawan penyakitnya, kata Taliban dalam satu kenyataan.

Anak lelakinya, Sirajuddin Haqqani kini mengetuai kumpulan yang dianggap ganas itu.

Jalaluddin “salah seorang personaliti jihad paling penting pada era ini”, kata Taliban dalam kenyataan yang dimuat naik di Twitter.

Pada 1980-an, ketua Haqqani menjadi komander mujahidin Afghanistan melawan penjajahan Soviet di negara itu dengan bantuan Amerika Syarikat dan Pakistan.

Beliau terkenal kerana organisasinya dan keberaniannya, mendapat perhatian daripada CIA dan menerima kunjungan peribadi daripada anggota kongres AS, Charlie Wilson.

Fasih berbahasa Arab, Jalaluddin juga mempunyai hubungan akrab dengan kumpulan jihad Arab termasuk Osama Bin Laden yang datang ke wilayah itu ketika perang. Jalaluddin kemudian dilantik sebagai menteri dalam rejim Taliban.

Tidak jelas di mana atau bila beliau meninggal dunia. Sejak beberapa tahun terakhir ini, sudah beberapa kali khabar angin menyatakan tentang kematiannya.

Jaringan Haqqani dipersalahkan atas beberapa serangan di seluruh Afghanistan sejak pencerobohan AS.

Ia juga dipercayai menjadi dalang dalam kebanyakan serangan di ibu kota Kabul, sejak akhir-akhir ini walaupun kumpulan Islamic State mendakwa bertanggungjawab atas serangan berkenaan. – AFP, 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen