SPRM tahan pegawai khas bekas pengerusi Felda


Pegawai SPRM merampas dokumen dalam siasatan pembelian hotel pada kadar lebih tinggi daripada harga pasaran membabitkan Felda Investment Cooperation di London dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Cooperation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata lelaki berkenaan ditahan pada 4 pagi tadi di pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

“Lelaki berkenaan dijangka direman pada 2.30 petang hari ini di Mahkamah Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Sahabat Gerah SPRM.

Pada Jumaat lepas, Dzulkifli mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching itu yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

Setakat ini, empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada 2014.

SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – Bernama, 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen