Pemaju senjata nuklear Korea Utara meninggal dunia


Korea Utara mengutamakan senjata nuklear dan menjalankan ujian nuklear pertama pada 2006, diikuti dengan lima lagi ujian dan pelancaran senjata balistik. – Gambar EPA, 4 September, 2018.

SEORANG pegawai veteran Korea Utara yang dipercayai memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi senjata dan nuklear negara itu meninggal dunia, umum pihak berkuasa negara hari ini.

Agensi berita kerajaan KCNA berkata Ju Kyu Chang yang juga ahli akademik dan profesor meninggal dunia semalam pada usia 89 tahun kerana penyakit berkaitan dengan darah.

Katanya, obituari rasmi negara menyifatkan Ju sebagai revolusioner veteran yang memberikan sumbangan penting dalam mengukuhkan kemampuan pertahanan negara.

Ju ialah bekas menteri dalam kementerian pertahanan Korea Utara yang bertanggungjawab dalam membangunkan senjata nuklear.

Beliau salah seorang warga Korea Utara yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada 2013 kerana peranannya dalam program nuklear.

Ju memantau pelancaran roket Korea Utara, Unha pada 2009, bersama pemimpin Kim Jong Il.

Beliau terbabit dalam membabitkan roket Unha-3 yang dilancarkan pada 2012 sebelum bersara pada 2015.

Korea Utara, negara yang memencilkan diri itu mengutamakan senjata nuklear.

Ia menjalankan ujian nuklear pertama pada 2006, diikuti dengan lima lagi ujian dan pelancaran senjata balistik.

Tahun lalu, ia mendakwa menjadi negara nuklear, dan mampu melancarkan senjata sejauh ke timur Amerika Syarikat. – AFP, 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen