PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran kepada Syria supaya jangan melancarkan serangan terhadap kubu kuat terakhir pemberontak di negara itu dengan bantuan Rusia dan Iran, kerana ia bakal mencetuskan “tragedi kemanusiaan”.
Amaran itu dibuat susulan Menteri Luar Iran Mohammad Javed Zarif bertemu pemimpin Syria, Bashar al-Assad dalam satu kunjungan mengejut ke Damascus.
Pasukan tentera Syria kini berkawal di wilayah Idlib, sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan.
“Presiden Bashar al-Assad tidak boleh sesuka hati menyerang Idlib. Rusia dan Iran akan menjadikan ia kuburan besar manusia,” kata Trump menerusi Twitter.
“Ratusan ribu orang mungkin terbunuh. Jangan biarkan ia berlaku!”
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan bantuan perubatan memberi amaran bahawa serangan penuh terhadap Idlib bakal mencetuskan bencana kemanusiaan dengan skala besar yang tidak pernah disaksikan sepanjang tujuh tahun konflik di Syria.
Tetapi Rusia dan Iran bertegas mengatakan kumpulan ekstremis di Idlib perlu ditewaskan dan dijangka memberi sokongan kepada pasukan tentera dalam mana-mana serangan.
Lawatan Zarif ke Syria yang sedang berperang juga diadakan beberapa hari sebelum mesyuarat tiga pihak peringkat tertinggi di Tehran untuk membincangkan konflik Syria.
Beliau bertemu Assad untuk berbincang tentang isu agenda mesyuarat tiga pihak itu. – AFP, 4 September, 2018.
Komen