MENTERI pertahanan Israel hari ini berkata rundingan dengan Palestin adalah tidak bermakna berdasarkan situasi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Sebaliknya, Avigdor Lieberman berkata Israel perlu bertindak sendiri untuk menyelesaikan konflik antara kedua-dua pihak.
Kenyataan Avigdor Lieberman dikeluarkan ketika Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berusaha untuk menamatkan sengketa antara pejuang Hamas di Gaza dan Israel menerusi gencatan senjata yang lebih lama.
“Saya sedar semua rundingan yang sedang berlaku,” katanya.
“Rundingan ini sama ada di Ramallah atau Gaza tidak akan ke mana-mana.
“Semua rundingan menuju ke jalan mati. Oleh itu kami perlu bertindak ke atas isu rakyat Palestin di kedua-dua wilayah tersebut secara bersendirian dan mengikut kefahaman kami,” katanya.
Menteri itu mengulangi penggunaan strategi timbal balik iaitu pejuang Hamas perlu menghentikan aktiviti keganasan sebagai balasan penarikan semula sekatan di sempadan wilayah itu.
“Penduduk Gaza bimbang kehidupan mereka terjejas dan mereka perlu memahami bahawa pihak yang terlibat dalam aktiviti keganasan bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Keselamatan yang baik akan memberi keuntungan ekonomi,” katanya.
Ketegangan antara Hamas dan Israel berlanjutan sejak berbulan-bulan lalu dengan tercetusnya pertempuran di kawasan sempadan.
Namun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketegangan dilihat semakin reda. – AFP, 3 September, 2018.
Komen