PRESIDEN China Xi Jinping memberi jaminan kepada pemimpin negara-negara Afrika bahawa pelaburan Beijing di benua itu tidak ‘bermotifkan politik’.
Beijing sedia menyalurkan dana pembangunan baharu sebanyak AS$60 bilion (RM240 bilion) di benua tersebut walaupun menerima kritikan ramai pihak terhadap tindakan republik itu menyediakan projek luar negara dengan nilai hutang yang tinggi.
Jinpung menawarkan dana itu yang akan digunakan untuk tempoh tiga tahun akan datang pada hari pembukaan sidang kemuncak China-Afrika yang memfokuskan inisiatif ‘Belt and Road’.
Skim pinjaman itu merupakan usaha China meningkatkan peluang untuk memasuki pasaran dan sumber luar, sekali gus memperluaskan pengaruh di luar negara.
Beijing sudah menyediakan pinjaman puluhan bilion dolar kepada negara-negara di Asia dan Afrika untuk tujuan projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, landasan kereta api dan pelabuhan.
Namun pengkritik memberi amaran bahawa projek-projek China itu bakal menyebabkan beberapa negara dibebani hutang yang tinggi.
“Pelaburan China di Afrika tidak mempunyai kaitan dengan politik,” kata Jinping ketika dialog bersama pemimpin Afrika dan wakil perniagaan di sidang kemuncak itu.
“Kerjasama China dan Afrika jelas mensasarkan projek-projek pembangunan. Sumber kerjasama ini tidak akan digunakan bagi projek yang sia-sia tetapi diberikan kepada tempat yang selayaknya.”
Sementara itu, Presiden Afrika Selatan mempertahankan penglibatan China di benua itu dan menolak pandangan pengkritik yang mendakwa penjajahan baharu kini memasuki Afrika.
Bulan lalu, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad memberi amaran tentang ‘penjajahan bentuk baharu’ selepas beliau membatalkan beberapa projek infrastruktur yang dibiayai kerajaan China. – AFP, 3 September, 2018.
Komen