FGV tunggu laporan peguam untuk ambil tindakan terhadap ahli lembaga pengarah


SM Amin

Laporan hasil siasatan dalaman itu akan diketahui dalam masa beberapa bulan akan datang, kata Pengerusi Felda Global Ventures (FGV), Azhar Abdul Hamid. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 September, 2018.

LAPORAN hasil siasatan dalaman terhadap individu melibatkan ahli lembaga pengarah dan bahagian pengurusan Felda Global Ventures (FGV) akan diketahui dalam masa beberapa bulan akan datang, kata Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid.

Azhar berkata siasatan tersebut telah selesai dan pihaknya kini sedang menunggu pandangan dan nasihat peguam yang dilantik untuk memutuskan tindakan seterusnya.

“Kita pakai peguam bukan dari Malaysia sahaja, ada juga dari luar negara kerana banyak perkara yang kita siasat ini melibatkan transaksi-transaksi di luar negeri. Ianya kompleks.

“Kita sedang tunggu kesimpulan yang dibuat oleh peguam kita. Peguam masih belum membuat rumusan untuk menasihati kita tindakan susulan. Kita perlu tunggu lama sedikit,” katanya pada sidang media di Akademik FGV Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya siapa ahli lembaga yang disiasat, Azhar enggan menamakan individu tersebut tetapi menjelaskan siasatan itu melibatkan individu di pelbagai peringkat.

Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid (tengah) enggan menamakan individu tersebut tetapi menjelaskan siasatan itu melibatkan individu di pelbagai peringkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

Siasatan audit forensik yang dilakukan oleh FGV ke atas enam transaksi dan keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini mendedahkan kumpulan itu kepada kerugian kewangan yang signifikan.

Daripada enam transaksi itu, empat telah selesai disiasat termasuk transaksi berjumlah RM628 juta membabitkan pembelian Asia Plantation Ltd (APL) pada tahun 2014 serta pelaburan FGV Cambridge Nanosystems Ltd. dan pembelian kondominium mewah, The Troika.

Menurut Azhar, siasatan lanjut dalaman mendapati terdapat kelemahan dalam amalan perdagangan pembelian yang lemah dan jualan minyak sawit yang lemah sehingga mengakibatkan hutang sekitar RM100 juta.

“Penemuan siasatan itu ada pada peguam. Kami akan membuat pengumuman hasil siasatan pada masa yang sesuai,” katanya.

Bagaimanapun kata Azhar, pihaknya tidak akan memberi fokus kepada siasatan sebaliknya keutamaan adalah bagaimana untuk memulih semula FGV ke landasan yang sepatutnya.

“Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada siasatan dan apa tindakan yang perlu dikenakan tetapi memikirkan bagaimana masa depan syarikat kumpulan.

“Kumpulan perlu diberi perhatian, hasil perlu ditambah, efisyen, efektif dan perniagaan perlu ditingkatkan dan keputusan kewangan yang baik perlu dihasilkan. Perkara ini tidak boleh dilakukan semalaman,” katanya. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen