Pegawai hidupan liar Sri Lanka akan dibekal senjata api


Mereka akan dibekalkan senjata api jenis raifal tempur tidak lama lagi bagi melindungi gajah daripada pemburu haram dan menyelamatkan nyawa manusia dalam konflik manusia-gajah yang wujud sejak dahulu lagi. – Gambar EPA, 3 September, 2018.

PARA pegawai Hidupan Liar di Sri Lanka akan dibekalkan senjata api jenis raifal tempur tidak lama lagi bagi melindungi gajah daripada pemburu haram dan menyelamatkan nyawa manusia dalam konflik manusia-gajah yang wujud sejak dahulu lagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan pada Isnin.

Senjata itu akan dibeli atas syor Menteri Pembangunan Lestari, Hidupan Liar dan Wilayah, Fil Marsyal Sarath Fonseka.

Jumlah keseluruhan senjata yang bakal diimport ialah 2,568 unit.

Timbalan Menteri Hidupan Liar, Palitha Thewarapperuma, berkata pembelian raifal tempur itu mempunyai kaitan dengan konflik manusia-gajah akibat tindakan sekumpulan manusia yang menceroboh habitat hutan gajah.

“Ketika ini, para pegawai hidupan liar enggan campur tangan apabila manusia dan gajah berdepan konflik itu,” katanya.

Jurucakap kabinet, Gayantha Karunathilaka, berkata pada bulan lepas, angka kematian akibat konflik manusia-gajah di Sri Lanka telah mencatat rekod yang tinggi, dengan lebih 375 orang dibunuh oleh gajah liar manakala lebih 1,100 ekor gajah dibunuh oleh manusia dalam tempoh lima tahun lalu.

Karunathilaka berkata untuk mencari penyelesaian dalam konflik itu, kerajaan telah memutuskan untuk memperluas pagar elektrik berhampiran taman nasional serta kampung yang terdedah sebagai sebahagian usaha baharu bagi melindungi orang ramai dan gajah liar.

Gajah di Sri Lanka dilindungi undang-undang. 

Perbuatan membunuh gajah liar adalah kesalahan yang boleh dihukum namun terdapat laporan rutin bahawa penduduk kampung yang marah telah bertindak meracun atau menembak haiwan itu.

Rekod rasmi menunjukkan bahawa populasi gajah liar dianggarkan berjumlah 7,500 ekor di Sri Lanka. – Bernama, 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen