AS kenakan sekatan terhadap presiden Venezuela


Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro, selepas pemimpin itu meneruskan hasratnya mengadakan pilihan raya Dewan Perlembagaan Negara pada Ahad. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2017.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam, mengenakan sekatan terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro, selepas pemimpin negara itu meneruskan hasratnya mengadakan pilihan raya Dewan Perlembagaan Negara (ANC) pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua.

“Sekatan terhadap Maduro sekali gus menunjukkan bantahan AS terhadap dasar rejimnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan itu juga, AS memberi amaran kepada sesiapa terlibat dalam ANC akan dikenakan tindakan sama.

Susulan sekatan, semua aset Maduro yang tertakluk di bawah bidang kuasa AS akan dibekukan dan rakyat AS dilarang sama sekali untuk menguruskannya.

Sebelum ini, AS di bawah pimpinan Presiden Donald Trump turut mengenakan sekatan terhadap 13 tokoh politik kerajaan Venezuela kerana terbabit dengan ANC.

Menurut Majlis Pilihan raya Kebangsaan Venezuela, lebih 8 juta orang mengundi untuk ANC baharu yang akan ditugaskan untuk menulis semula perlembagaan.

Pengundian dilakukan di tengah ketegangan yang wujud akibat bantahan anti kerajaan dianjurkan pihak pembangkang iaitu Pertubuhan Kesatuan Demokratik (MUD) sejak awal April, menyaksikan lebih 110 rakyat terkorban.

ANC dicadangkan Maduro pada Mei, bagi menulis semula Perlembagaan 1999 bertujuan memecahkan kebuntuan politik yang dilihat melumpuhkan negara Amerika Selatan.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat usaha itu hanyalah alasan Maduro untuk mengukuhkan lagi kuasanya. – Bernama, 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen