2 wartawan Reuters dedah penindasan Rohingya dipenjara 7 tahun


Kira-kira 700,000 penduduk Islam Rohingya kini menjadi pelarian di Bangladesh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

DUA wartawan Reuters dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun selepas didapati bersalah melanggar undang-undang rahsia Myanmar ketika melaporkan kes pembunuhan beramai-ramai etnik Islam Rohingya.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, ditahan di penjara Insein, Yangon sejak September lalu didakwa kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi, undang-undang era penjajahan Britis di negara itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Kes itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang mengecam tindakan Yangon untuk menyembunyikan laporan tentang penindasan pihak tentera ke atas golongan minoriti Rohingya di Rakhine.

Operasi ketenteraan Myanmar itu memaksa kira-kira 700,000 penduduk Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh selain wujud laporan tentang kes rogol dan pembunuhan yang dilakukan oleh tentera dan polis Myamnar.

Kedua-dua wartawan tersebut menafikan tuduhan itu, sebaliknya menegaskan mereka diperangkap ekoran pendedahan yang dibuat sebelum itu tentang kes pembunuhan 10 penduduk Rohingya di kampung Inn Din, Rakhine pada September tahun lalu.

Mereka mendakwa, pihak polis yang mahu menyerahkan dokumen rahsia itu menjemput mereka makan malam di Yangon.

Namun selepas meninggalkan restoran, kedua-dua mereka ditahan atas kesalahan memiliki dokumen sulit kerajaan.

Bagaimanapun keputusan hakim Ye Lwin tidak berganjak dengan keterangan tertuduh.

“Pengkhianat ini cuba menggugat kepentingan negara dan mereka didapati bersalah di bawah akta rahsia rasmi.

“Mereka berdua masing-masing dihukum penjara selama tujuh tahun,” katanya. – AFP, 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen