PIHAK berkuasa Sri Lanka hari ini memulakan siasatan kematian gajah liar di timur pulau itu selepas tujuh bangkai haiwan itu ditemui, kata menteri.
Menteri Hidupan Liar Palitha Thewarapperuma berkata enam daripada tujuh haiwan itu yang ditemui di dalam paya masih muda – di bawah usia 12 tahun – dan beliau mengesyaki banyak lagi haiwan itu mati di situ.
“Pakar hidupan liar dan doktor veterinar sedang menyiasat punca kematian itu,” kata Thewarapperuma dari daerah Polonnaruwa, 220km timur Colombo.
Beliau berkata kejadian itu mungkin berlaku kerana paya berkenaan pada masa ini bertaburan dengan bunga keladi, tumbuhan dianggap jahat, dikenali sebagai Japan Jabara.
Paya itu terletak di laluan migrasi dan haiwan berkenaan mungkin tertarik masuk ke dalam paya itu dan bergelut dengan tumbuhan berkenaan dan kemudian lemas.
Japan Jabara mula berada di Sri Lanka pada abad sebelum ini dan tersebar dengan pesat sejak Perang Dunia kedua.
Pasukan tentera bersekutu yang berpangkalan di Sri Lanka menanam spesies tumbuhan terapung itu di atas air untuk mengelirukan juruterbang Jepun dalam misi pengeboman supaya mereka menyangka ia padang berumput yang sesuai untuk pendaratan kecemasan.
“Sungguh menyedihkan melihat banyak gajah muda terbunuh di sini. Kami sedang cuba mencari cara untuk mengeluarkan Japan Jabara dan menjadikan kawasan ini kembali selamat,” kata Thewarapperuma.
Sri Lanka menganggap gajah sebagai khazanah negara dan mereka dilindungi oleh undang-undang.
Bagaimanapun, konflik manusia dan gajah berhampiran tempat perlindungan hidupan liar menyebabkan 375 orang maut dalam tempoh lima tahun lalu.
Penduduk kampung yang marah, membuat serangan balas dengan membunuh hampir 1,200 haiwan itu.
Bulan lalu, kerajaan berkata pihak berkuasa akan mula membina 2,651km pagar elektrik baharu untuk mengelak gajak memasuki perkampungan di sempadan rizab hidupan liar.
Populasi gajah di Sri Lanka dianggarkan sebanyak 7,500. – AFP, 3 September, 2018.
Komen