.jpg)
PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Negeri Terengganu yang berjaya melaksanakan proses sebatan syariah terhadap dua pelaku musahaqah (lesbian) pada hari ini, Isnin, 3 September 2018 dalam keadaan baik dan tenang, tanpa tunduk dengan desakan mana-mana pihak.
PGSM menegaskan bahawa hukuman sebatan syariah yang dijalankan tersebut dalam keadaan berpakaian menutup aurat, dengan pemeriksaan pasukan perubatan terlebih dahulu, ringan dan tidak melukakan telah membuktikan kepada masyarakat yang mempertikaikan hukuman tersebut, bahawa Islam dan syariah menyantuni setiap insan walaupun mereka melakukan kesalahan.
Hukuman sebat syariah masih melindungi maruah pesalah, maka sebab itu pesalah dibenarkan memakai pakaian dan menutup keseluruhan aurat, baik lelaki atau wanita. Berbeza dengan sebatan sivil dan barat, pesalah akan ditelanjangkan, hanya bahagian kemaluan sahaja ditutup dengan kain atau cawat, dan bahagian punggung pesalah akan diikat pada abah-abah dengan tali pinggang.
Ia membuktikan bahawa sebatan syariah tidak kejam dan zalim sebagaimana didakwa sesetengah pihak. Ia juga membuktikan bahawa sebatan syariah ternyata sama sekali berbeza dengan hukuman sebat di mahkamah sivil.
Syarat-syarat pelaksanaan hukuman sebatan syariah sebenarnya telah ditakninkan dalam peruntukan Seksyen 125 dan 126, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Terengganu) 2001, dan juga dalam undang-undang tatacara jenayah Syariah negeri lain.
Kehadiran orang awam semasa pelaksanaan hukuman syariah bukan dengan tujuan menjatuhkan kehormatan atau memalukan pesalah, tetapi memberi mesej kepada orang lain tentang kesalahan dan akibatnya, menimbulkan kegerunan dan pencegahan kepada orang yang menyaksikan dan orang mendengar cerita itu, menjadi bualan dan bahan cerita kepada generasi akan datang. Dan orang yang menyaksikannya mendoa rahmat kepada pesalah agar dia dapat bertaubat dan kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.
Kehadiran orang awam yang menyaksikan bukan diukur pada sedikit atau ramai tetapi sejumlah orang yang boleh menghebah dan menimbulkan pencegahan dan ia berbeza mengikut keadaan tempat dan peribadi seseorang. – 3 September, 2018.
* Musa Awang adalah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen