Perbincangan AS, Korea Utara mengenai senjata nuklear perlu dipergiatkan


Ketua Turus kepada Presiden, Im Jong-seok berkata antara yang dibincangkan berkenaan mewujudkan Semenanjung Korea ialah menetapkan tarikh Moon Jae-in melawat Pyongyang. – Gambar EPA, 3 September, 2018.

USAHA untuk memulakan semula perbincangan mengenai mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara perlu dipergiatkan, kata jurucakap presiden Korea Selatan.

Ketua Turus kepada Presiden, Im Jong-seok berkata demikian, dua hari sebelum beberapa pegawai dari Korea Selatan mengunjungi Korea Utara, lapor Yonhap pada Isnin.

“Antara yang akan dibincangkan ialah menetapkan tarikh untuk Moon Jae-in mengadakan lawatan ke Pyongyang pada musim luruh nanti,” kata Im menerusi Facebooknya.

Perwakilan khas Chung Eui-yong, dan empat perwakilan lain, termasuk ketua Perkhidmatan Perisikan Negara, akan ke Korea Utara pada Rabu.

Sebelum ini, Moon menyuarakan kesediaannya untuk melawat Pyongyang bulan ini, sekali gus akan menjadi sidang kemuncak dua hala ketiganya dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Lawatan oleh pegawai Korea Selatan itu juga di tengah-tengah kebuntuan dalam usaha mewujudkan kawasan bebas senjata nuklear, sebagaimana kesepakatan yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Korea Utara di Singapura pada 12 Jun.

Presiden Donald Trump turut membatalkan lawatan diplomat kanannya, Mike Pompeo ke Korea Utara kerana beranggapan kesepakatan tersebut tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Berikutan itu, Korea Selatan gigih memastikan kesepakatan kedua-dua negara tersebut berhasil dengan senantiasa berhubung rapat dengan Amerika Syarikat, kata Im. – Bernama, 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen