SULTAN Selangor setuju cadangan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam di negeri itu dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun dan berharap ia dapat dilakukan dengan segera.
Dalam ucapannya membuka sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri supaya meminda beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah 2003 untuk menyelaraskan semula had perkahwinan itu.
Baginda bertitah sudah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menyemak semula undang-undang berkaitan untuk ditambah baik.
Pindaan tersebut titahnya perlu dibuat segera susulan kes yang didedahkan baru-baru ini melibatkan perkahwinan kanak-kanak perempuan Islam pada usia yang terlalu muda.
“Beta memandang serius kes-kes seperti ini kerana beta bimbang tentang risiko, kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.
“Oleh itu, beta telah menitahkan pihak Jais dan Mais untuk menyemak semula undang-undang dikalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan menambahbaikkan jika perlu.
“Beta berkenan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan dinaikkan had minimum daripada 16 tahun kepada 18 tahun,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-14 2018.
Pada Jun lalu, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya, tular di media sosial setelah perkara itu dikongsikan isteri kedua lelaki terbabit.
Tindakan lelaki berumur 41 tahun itu yang berkahwin Sungai Golok, selatan Thailand mendapat kecaman pelbagai lapisan masyarakat dan jadi perhatian media antarabangsa.
Pada 11 Julai lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang menjatuhkan hukuman denda RM1,800 ke atas lelaki peraih getah itu yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun itu atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Dalam titahnya, Sultan Selangor juga bertitah supaya beberapa peruntukan lain perlu dipinda bagi menambah baik prosedur Mahkamah Syariah dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur.
“Antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapat rekod aset, mental, kewangan kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak datang kemudaratan.
“Beta berharap agar kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini.
“Beta percaya pembinaan institusi keluarga yang kukuh pastinya akan memberi kesan yang besar terhadap pembangunan masyarakat,” katanya. – 3 September, 2018.
Komen