Laporan akhir MH370 diubahsuai, data tidak lengkap, kata akhbar Australia


PENYIASAT penerbangan bebas yang turut menyiasat tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 mendakwa log data dalam laporan akhir pesawat itu diubahsuai dan tidak lengkap, menurut laporan akhbar The West Australian.

Ahli Independent Group (IG), yang bekerja rapat dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkenaan penyiasatan misteri MH370 mendakwa “menemui anomali dalam log mesej yang termasuk juga maklumat fakta yang dikeluarkan oleh Malaysia pada 8 Mac, 2014, dan Laporan Siasatan Keselamatan dikeluarkan oleh Malaysia pada 30 Julai”.

Fakta tidak konsisten dalam laporan itu “mencadangkan log trafik dalam laporan itu tidak lengkap dan apa yang ada dalam laporan itu telah diubahsuai”, kata ahli IG, Victor Iannello kepada akhbar itu.

Dokumen log data itu mendokumentasikan komunikasi antara MAS Operations Dispatch Centre (ODS) dan penyedia perkhidmatan yang membawa mesej ke kokpit.

Iannello berkata kesilapan dalam dua laporan itu seperti masa salam direkodkan untuk mesej itu, dan log tertentu yang dikecualikan, mencadangkan bahawa ia disunting dalam laporan paling terbaru.

Beliau berkata amat pening untuk penyiasat Malaysia memberikan “log yang lengkap dan tidak diubahsuai” berkenaan semua komunikasi berkaitan kehilangan pesawat itu.

“Amat mengecewakan kerana selepas empat tahun kehilangan MH370, kita masih minta Malaysia keluarkan data yang dipegangnya.

“Data radar tentera salah satu contoh set data yang tidak pernah didedahkan secara lengkap, walaupun ia amat penting dalam memberikan maklumat tentang bagaimana pesawat itu terbang selepas tersasar daripada laluan penerbangannya,” kata Iannello.

Pada Julai, Malaysia mengeluarkan laporan teknikal 1,500 halaman berkenaan MH370, menyimpulkan bahawa pasukan penyiasat antarabangsa tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu pada 8 Mac, 2014.

Dua pencarian di dasar laut diadakan – pertama diketuai oleh ATSB dan kedua syarikat pengkaji dasar laut berpangkalan di Houston, Ocean Infinity – dan kedua-duanya gagal menemui pesawat itu.

The Australian, satu lagi akhbar Australia memetik pakar penerbangan sebagai mendakwa faktor seperti kurang panggilan kecemasan dan pesawat itu sengaja terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum ia hilang dari radar, menunjukkan kepada rampasan pesawat oleh juruterbang. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen