Penyokong PAS belum pasti hendak sokong MCA di Balakong


Gan Pei Ling

Calon MCA, Tan Chee Teong (tengah) akan menentang calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki pada PRK Balakong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam satu nahas jalan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

PENYOKONG PAS di Balakong masih belum memutuskan sama ada hendak memberikan undi mereka kepada MCA atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 8 September ini.

Pengasas cawangan PAS Balakong, Abd Hadi Shafie berkata ahli parti yang setia akan mengikut arahan kepimpinan parti untuk mengundi MCA tetapi penyokong senyap parti mungkin tidak akan mengundi langsung pada PRK itu.

“Kebanyakan pengundi masih tidak buat keputusan, dalam dilema. Mereka mungkin tidak keluar mengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menganggarkan terdapat antara 2,000 hingga 3,000 ahli PAS di Balakong, kebanyakannya di Bandar Tun Hussein Onn. Pengundi Melayu membentuk 30% daripada 62,219 pengundi di Balakong.

Calon MCA, Tan Chee Teong akan menentang calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki pada PRK Balakong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam satu nahas jalan raya.

Calon MCA, Tan Chee Teong ketika berkempen di PRK Balakong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

Pada PRU14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali daripada PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Pada masa itu, PAS menerima 6,230 undi, lebih sedikit berbanding MCA (5,874 ) dengan DAP memperoleh 41,768 undi.

Ini kali pertama MCA akan bertanding menggunakan logonya sendiri, memecahkan amalan tradisinya selama ini menggunakan logo daging BN pada pilihan raya.

Kepimpinan PAS berkata ia akan menyokong calon BN atas dasar semangat pembangkang. Namun, selain mengarahkan ahlinya mengundi MCA, parti Islam itu tidak turun padang berkempen untuk MCA di Balakong.

Hadi berkata jentera parti itu di Selangor memfokuskan kepada kempen di Seri Setia, di mana ia melawan calon PKR, dalam pertandingan satu lawan satu. PRK Seri Setia dan Balakong akan diadakan pada hari sama.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya berkata beliau percaya 6,000 undi daripada PAS mungkin tidak mengundi MCA.

“MCA paling vokal membantah hudud yang dibawa PAS. Jadi pengundi PAS terperangkap dalam dilema antara patuh kepada arahan kepimpinan dan dasar MCA yang tidak mesra PAS,” katanya.

Pakar politik Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute pula berkata penyokong PAS terpaksa hipokrit untuk mengundi MCA.

“Prinsip PAS ialah musuh kepada musuh (PH) ialah kawan, tetapi MCA membantah hudud, tidak kurang berbanding DAP.

“Baru-baru ini, pemimpin MCA menyelar Pulau Pinang kerana terlalu banyak membantu Melayu Islam,” kata Wong.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata jentera parti itu di Selangor memfokuskan kepada kempen di Seri Setia, di mana ia melawan calon PKR, hari yang sama PRK Balakong berlangsung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

Beliau berkata sokongan PAS kepada MCA mungkin jadi tikam belakang terhadap parti berasaskan kaum Cina itu, menjauhkan penyokong MCA sendiri.

“Sokongan PAS mencipta persepsi bahawa proksi MCA bukan saja Umno, tetapi juga PAS,” kata Wong yang meramalkan MCA mungkin kalah lagi.

Pengundi Melayu yang ditemui The Malaysian Insight di kawasan DUN itu berkata mereka mungkin mengundi PH sekali lagi.

Sobri, penjual air kelapa dari Bandar Tun Hussein Onn, berkata beliau sudah pasti akan mengundi PH lagi.

“Bukan MCA. Negara ini perlukan pemimpin baharu,” katanya.

Ahmad Fauzi, seorang penjaja berkata beliau kagum dengan mendiang Ng, Adun Balakong yang juga daripada DAP kerana selalu singgah bertemu dengan penduduk tempatan.

“Beliau akan duduk di sini dan berbual dengan kami. Saya tidak pernah lihat calon DAP atau MCA kali ini. Mereka sepatutnya datang dan jumpa kami,” katanya yang juga bekas ejen hartanah.

Selain kesesakan lalu lintas, katanya tidak banyak aduan lain kerana Bandar Tun Hussein Onn yang menjadi tempat tinggalnya itu membangun dengan pesat sejak dua dekad lalu.

“Kami melihat penambahbaikan dari masa ke masa. Kami ada bas percuma Selangor dan stesen MRT di sini. Sekarang ada klinik percuma juga. Jika mereka boleh kurangkan kesesakan lalu lintas, kerana terlalu banyak lampu isyarat,” kata Ahmad. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen