12 maut nahas helikopter di Afghanistan


Sebuah helikopter membawa pasukan keselamatan Afghanistan terhempas dan meletup di utara negara itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang maut. – Gambar AFP, 3 September, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 12 orang terbunuh, termasuk dua rakyat Ukraine dalam nahas helikopter di Afghanistan utara pada Ahad.

Pesawat yang dimiliki oleh syarikat Moldova, membawa 14 orang termasuk 11 anggota pasukan keselamatan Afghanistan ketika ia terhempas di wilayah utara Balkh, kata pihak berkuasa penerbangan Moldova dalam satu kenyataan.

Dua warga Ukraine yang terbunuh adalah anak kapal, kata kenyataan itu. Seorang lagi kru warga Ukraine terselamat.

Sumber keselamatan Afghanistan mengesahkan angka kematian itu.

Sementara itu, satu sumber keselamatan Afghanistan mengatakan angka kematian berjumlah 13 orang, dengan hanya seorang juruterbang asing yang terselamat.

Helikopter itu membawa senjata dan meletup akibat impak, menyebabkan mangsa rentung tanpa dapat dikenal pasti, kata sumber Afghanistan.

Pegawai Afghanistan sebelum ini berkata angka kematian berjumlah tiga orang.

Nahas itu berpunca daripada “masalah teknikal” sejurus selepas berlepas dari daerah Dehdadi, kata wakil komandan pasukan Afghanistan, Nazer Khuda Pamiri kepada AFP.

Ia membawa pasukan keselamatan Afghanistan dari pangkalan tentera ke wilayah barat laut Faryab.

Helikopter terbakar sejurus selepas ia terhempas, Pamiri mengesahkan.

Timbalan jurucakap kementerian pertahanan Mohammad Radmanish berkata, helikopter itu milik sebuah syarikat swasta dan disewa oleh pihak kementerian. – AFP, 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen