400 tahanan penjara di Tripoli larikan diri


Sekurang-kurangnya 23 roket membedil ibu negara Tripoli, Libya pada Jumaat dan Sabtu yang menyebabkan nyawa terkoban dan puluhan cedera. – Gambar EPA, 3 September, 2018.

SERAMAI 400 orang tahanan melarikan diri selepas rusuhan pada Ahad di sebuah penjara di pinggir selatan ibu kota Libya, Tripoli, kata polis.

“Tahanan berjaya memaksa pintu dibuka dan lari” ketika pertempuran antara militan yang marah dekat penjara Ain Zara, kata polis dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan apa kesalahan yang dilakukan banduan terlepas.

Pengawal tidak dapat menghalang tahanan yang lari kerana khuatir dengan keselamatan mereka, kata kenyataan itu.

Seorang pegawai polis yang dihubungi oleh AFP tidak dapat memberikan butiran lanjut.

Kebanyakan tahanan di penjara itu disabitkan dengan jenayah biasa atau penyokong bekas diktator Moamer Kadhafi, yang didapati bersalah atas pembunuhan semasa pemberontakan menggulingkan rejimnya pada 2011.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dan kira-kira 100 orang cedera sejak pertempuran, termasuk serangan roket, pertempuran di kalangan militan pada Isnin di pinggir selatan Tripoli.

Pada Ahad, roket membedil sebuah kem pelarian di Tripoli, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang mati dan lima cedera, menurut pasukan kecemasan dan saksi.

Kem itu adalah kediaman bagi ratusan penduduk yang berpindah dari bandar Taourga, Libya yang dipaksa kerana sokongan mereka terhadap Kadhafi.

“Kebanyakan keluarga meninggalkan kem kerana bimbang lebih banyak roket,” kata Khaled Omrane kepada AFP.

Menurut perkhidmatan kecemasan, sekurang-kurangnya 23 roket membedil ibu negara pada Jumaat dan Sabtu menyebabkan tambahan korban.

Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa pada Ahad berkata ia mengisytiharkan darurat di ibu kota Libya dan sekitarnya.

Ibu kota Libya berada di tengah pertempuran antara kumpulan bersenjata sejak kejatuhan dan pembunuhan Kadhafi. – AFP, 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen