George Clooney dan isteri taja pendidikan 3,000 kanak-kanak Syria


Pasangan selebriti terkenal Hollywood, George dan Amal Clooney akan membantu 3,000 pelarian kanak-kanak Syria menerima pendidikan di Lubnan. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2017.

PASANGAN selebriti terkenal Hollywood, George dan Amal Clooney merancang untuk membantu 3,000 pelarian kanak-kanak Syria menghadiri sekolah tahun ini di Lubnan, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata sekitar 200,000 kanak-kanak Syria tercicir daripada menerima pendidikan.

Lebih sejuta rakyat Syria termasuk lebih 500,000 kanak-kanak didaftarkan sebagai pelarian di Lebanon selepas melarikan diri dari peperangan yang sudah berlanjutan selama enam tahun, di Syria yang berjiran dengan Lebanon.

UNICEF semalam berkata hampir 200,000 kanak-kanak pelarian Syria di Lebanon tidak ke sekolah. Pemerhati hak asasi manusia menganggarkan jumlahnya lebih 250,000.

Pendidikan hampir 3,000 kanak-kanak Syria itu akan dibiayai menerusi kerjasama bernilai AS$2.25 juta yang diumumkan The Clooney Foundation for Justice bersama Google, dengan tambahan AS$1 juta geran teknologi daripada HP.

Kerjasama dengan UNICEF itu akan membantu tujuh sekolah awam mendidik pelajar berkenaan yang pada masa ini tidak ke sekolah, dan akan menyokong peralatan teknologi di sekolah untuk pelarian dan kanak-kanak Lebanon, kata Clooney.

“Ribuan pelarian muda Syria sedang berdepan dengan risiko untuk menjadi sebahagian masyarakat yang tidak produktif. Pendidikan formal akan membantu mengubah keadaan itu,” kata pasangan itu dalam satu kenyataan.

“Kami tidak mahu kehilangan keseluruhan generasi hanya kerana mereka bernasib malang dilahirkan di tempat dan masa yang salah.”

Lebih 330,000 orang terbunuh di Syria sejak perang tercetus pada Mac 2011 selepas protes anti kerajaan berkembang menjadi perang proksi yang rumit.

Pasangan Clooney baru menerima kehadiran bayi kembar mereka, sepasang lelaki dan perempuan di Britain bulan lalu.

Amal, seorang peguam terkemuka berketurunan British-Lebanon berkahwin dengan pelakon itu pada 2014. – AFP, 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen