Lelaki Yaman dihukum mati di depan khalayak


Doktor dan pasukan keselamatan bersedia untuk menjalankan hukuman mati terhadap seorang lelaki di dataran Tahrir, Sanaa, Yaman selepas disabitkan bersalah merogol dan membunuh kanak-kanak tiga tahun. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2017.

RIBUAN orang berkumpul di ibu kota Yaman yang dikawal pemberontak semalam untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman secara terbuka terhadap seorang lelaki disabitkan merogol dan membunuh kanak-kanak tiga tahun.

Mohammed al-Moghrabi, 41, dijatuhkan hukuman mati pada 25 Jun atas kesalahan merogol dan membunuh oleh mahkamah kendalian pemberontak syiah Huthi yang mengawal Sanaa.

Jenayah kejam itu dilakukan pada hari raya pertama Aidilfitri, mencetuskan kemarahan penduduk setempat.

Moghrabi pada mulanya dikenakan hukuman 100 sebatan dan kemudian ditiarapkan ke atas tanah, sebelum mati ditembak pasukan keselamatan, yang disambut dengan sorakan ramai.

Polis berkata mereka membawa Moghrabi ke dataran Tahrir di mana dia dijatuhi hukuman walaupun agak bimbang khalayak yang sedang berang akan menyerangnya.

Pelaksanaan hukuman secara terbuka itu disiarkan di media Huthi di Yaman, menjadi antara contoh usaha pemberontak syiah memerangi jenayah di kawasan mereka.

Puak Huthi yang mendapat sokongan Iran masih berperang dengan kerajaan President Abedrabbo Mansour Hadi yang menerima pengiktirafan Arab Saudi dan antarabangsa, sejak dua tahun lalu.

Lebih 8,000 orang terbunuh dan berjuta lagi melarikan diri dalam konflik itu dengan hampir 2,000 meninggal dunia akibat kolera sejak April.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggambarkan Yaman sebagai “krisis kemanusiaan terbesar di dunia” dengan 10 juta rakyat biasa sangat memerlukan bantuan untuk menyelamatkan nyawa ketika negara itu terpaksa “berperang” dengan kebuluran. – AFP, 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen