3 maut bom kereta pembunuh nekad meletup di Somalia


Somalia mengalami serangan pengganas terburuk pada Oktober tahun lalu. Lebih 500 orang terbunuh di Mogadishu dalam insiden pengeboman trak yang didakwa dilakukan oleh Al-Shabaab. – Gambar EPA, 2 September, 2018.

BOM kereta pembunuh nekad meletup dan membunuh tiga pengawal keselamatan serta mencederakan beberapa yang lain di tengah ibu kota Somalia, Mogadishu pada Ahad, kata pihak berkuasa.

Kumpulan ekstremis Islam pergerakan Al-Shabaab segera mengakui bertanggungjawab terhadap serangan itu.

“Terdapat ledakan bom kereta yang menyasarkan pejabat pentadbiran daerah dan tiga orang maut dan beberapa yang lainnya cedera,” kata jurucakap pentadbiran Mogadishu Salah Hassan Omar kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa yang maut adalah pengawal keselamatan di pintu utama bangunan di mana letupan berlaku.

Saksi berkata letupan berkenaan memusnahkan bangunan itu.

“Ledakan itu sangat besar, ia menjejaskan beberapa bangunan berdekatan termasuk sekolah dan masjid,” kata saksi Abdukadir Dahir.

“Lapan orang cedera dan di kalangan mereka termasuk beberapa pelajar yang tinggal di madrasah berdekatan,” katanya.

Pengakuan kumpulan militan datang dalam kenyataan ringkas yang disiarkan di laman web pro-Shabaab.

“Mujahedeen menyerang ibu pejabat pentadbiran murtad… menggunakan kenderaan yang penuh dengan bahan peledak, terdapat korban,” katanya.

Somalia mengalami serangan pengganas terburuk pada Oktober tahun lalu.

Lebih 500 orang terbunuh di Mogadishu dalam insiden pengeboman trak yang didakwa dilakukan oleh Al-Shabaab. – AFP, 2 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen