Jepun siap siaga dibadai taufan kuat


Agensi Meteorologi Jepun menggesa penduduk di barat dan timur Jepun bersiap sedia berdepan paras air laut yang tinggi, tanah runtuh dan banjir yang diakibatkan Taufan Jebi. – Gambar EPA, 2 September, 2018.

JEPUN pada Ahad siap siaga dibadai taufan “sangat kuat”, dengan pihak berkuasa memberi amaran gelombang tinggi, banjir dan tanah runtuh, termasuk di kawasan yang dilanda banjir awal tahun ini.

Taufan Jebi, dengan angin kencang sehingga 252 kilometer sejam, dijangka membadai pulau utama negara itu pada Selasa, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

“Mengekalkan kekuatannya yang sangat kuat, taufan dijangka mendekati barat dan timur Jepun,” kata agensi itu.

Laluan taufan itu dijangka merangkumi rantau Chugoku barat, di mana hujan rekod pada Julai menyebabkan banjir dan tanah runtuh, mengorbankan kira-kira 220 nyawa dalam bencana berkaitan cuaca yang paling buruk di Jepun dalam beberapa dekad.

Media tempatan berkata, taufan yang masih ratusan kilometer jauhnya dari Jepun di Pasifik, dijangka merupakan ribut paling kuat yang akan membadai negara itu pada tahun ini.

Agensi meteorologi menggesa penduduk di barat dan timur Jepun bersiap sedia berdepan paras air laut yang tinggi, tanah runtuh dan banjir.

Badai itu datang ketika kira-kira 27,000 orang di Nagato di barat Jepun diperintahkan berpindah dari kediaman mereka pada Sabtu akibat hujan lebat.

Jepun kini menghadapi musim taufan, dan kerap dibadai ribut kuat semasa musim panas dan luruh.

Jebi melanda selepas Taufan Cimaron, yang menyebabkan tanah runtuh pada 23 Ogos sehingga mengakibatkan gangguan hubungan pengangkutan, tetapi tanpa kecederaan dan kerosakan yang teruk. – AFP, 2 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen