ADA yang samar-samar tentang kongres membincangkan ekonomi Melayu dan Bumiputera di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam: Sudah berapa kali sebenarnya orang Melayu berhimpun membincangkan kedudukan sosio ekonomi mereka dan menggariskan cadangan untuk diangkat kepada kerajaan?
Soalan itu berlegar dalam kalangan beberapa peserta Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara semalam, semasa sesi rehat di ruang legar di luar dewan persidangan.
Ada yang kata kongres semalam itu kali yang ketiga. Ada yang kata kali keempat. Ada pula sekadar berkata, entah.
Kalau merujuk pada catatan bekas Setiausaha Agung Umno, Sanusi Junid, sejak Merdeka sampai 2012, kongres semalam adalah kali yang ke-10 seumpamanya.
Lima kali memakai nama Kongres Ekonomi Bumiputera, dengan nama “kali ketiga” dianjurkan dua kali pada 1980 dan 1992. Tiga kali dipanggil Kongres Ekonomi Islam, pada 1968, 1972 dan 2011.
Kongres yang terakhir sebelum ini, pada 2012, memakai nama Kongres Ekonomi Melayu.
Semalam, namanya lain lagi.
Tetapi isunya masih sama – tentang kedudukan sosio ekonomi orang Melayu serta harapan dan kebimbangan masa depan.
Selain berapa kali sebenarnya kongres semacam ini diadakan, sekurang-kurangnya ada dua lagi hal lain yang menarik perhatian – ucapan penutup Anwar Ibrahim dan resolusi kongres.
Anwar, yang menyebut tidak mahu namanya dirujuk dengan apa-apa jawatan apatah lagi bakal perdana menteri – “panggil Anwar Ibrahim saja” – mengumumkan dasar afirmatif akan diteruskan “untuk semua kaum.”
Dasar yang membantu Melayu dan Bumiputera sejak awal 1970-an, selepas Tragedi 13 Mei membuka mata tentang perlunya masyarakat disusun semula, itu hendak dirombak.

Ini bukan perkara baru yang datang daripada Anwar. Sejak Reformasi 20 tahun lalu, beliau lantang menyuarakan pandangan yang lain tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan semangatnya dalam dasar-dasar yang menyusul.
Bukan Anwar seorang, ramai orang lain juga kritikal terhadap DEB – Melayu dan bukan Melayu, Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Kemarahan pada DEB itu tentulah kerana dasar itu disalahgunakan, daripada agihan kontrak yang besar sehinggalah kepada permit teksi, lesen perniagaan dan biasiswa.
Semuanya direbut. Semuanya dibedak-bedak termasuk kepada yang tidak berhak.
Maka tidak hairanlah apabila Anwar sekali lagi menyebut tentang membuka “dasar afirmatif untuk semua”.
“Mana-mana anak Cina, India atau Iban dan Kadazan, Murut dan Bajau yang tersisih dan terpinggir akan diberikan perhatian dan pertolongan yang sama untuk memberi makna kepada adab, akhlak keadilan yang kita bicarakan,” katanya.
Ini juga sudah beliau sebut dalam beberapa wawancara sejak keluar penjara pertengahan Mei lalu, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya 9 Mei.
Tidak ada yang baru. Malah, itulah juga yang terkandung dalam manifesto parti-parti politik pembangkang ketika itu yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat (PR) selepas pilihan raya umum 2008 – 10 tahun lalu.
Cumanya – cuma – dasar afirmatif berasaskan keperluan sebagai suatu kaedah yang bertentangan dasar afirmatif mengikut kaum sudah dan pernah dibahaskan oleh ahli ekonomi, sejak PR memperkenalkan dasarnya yang dikenali sebagai Buku Jingga.
Lee Hwok Aun, sekarang felo kanan di Institute of Southeast Asian Studies di Singapura misalnya, beberapa kali menulis dengan tema sanggahan yang sama bahawa tindakan afirmatif berasaskan keperluan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Antara hujahnya, pertama, tentang soal istilah atau takrifan “tindakan afirmatif”. Ini soal falsafah yang menjadi tulang punggung dasar berkenaan: Apakah maksud dasar itu?
Tindakan afirmatif adalah satu dasar diskriminasi positif bertujuan mengangkat kedudukan sekelompok tertentu dalam masyarakat yang terpinggir dalam sosio ekonomi.
Ia dasar yang mempunyai matlamat khusus dengan sasaran jangka masa yang juga tertentu. Ia terikat dengan identiti.

Hujah itu ada huraian yang lebih dalam lagi, tetapi asasnya begitu – yang membawa kepada hujah berikutnya iaitu ada beza antara “pembasmian kemiskinan” dan “tindakan afirmatif”.
Perbezaan itu juga ada dalam DEB – kalau kita rajin menyelak semula dasar hampir 50 tahun dulu dan cuba memahami matlamat serampang dua mata dasar itu: Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Yang selalu jadi salah faham ialah matlamat kedua itu.
Tindakan afirmatif juga tidak boleh – dan bukan – ganti pengagihan kekayaan. Tindakan afirmatif bukan cara mengagihkan pendapatan negara yang bertompok pada pihak tertentu. Ini bukan kaedah mengambil daripada A untuk diberi kepada B.
Pertembungan idea antara tindakan afirmatif berasaskan keperluan lawan tindakan afirmatif berasaskan identiti ini bukan saja jadi wacana di Malaysia.
Ini masalah yang juga dibahaskan dalam konteks Amerika Syarikat selepas pentadbiran Obama memperkenalkan kuota kemasukan pelajar kulit hitam ke kolej dan universiti.
Jadi, elok kalau hal ini diperhalusi dan diperjelaskan dengan lebih terperinci supaya semua orang faham dan yakin.
Apa yang mustahak ahli ekonomi yang tidak bersetuju dengan gagasan tindakan afirmatif berasaskan kaum pada dasarnya setuju bahawa dasar sedia ada perlu dirombak dan diperkemaskan.
Setidak-tidaknya, itu permulaan yang baik.
Selebihnya, ada satu lagi perkara yang hangat diperkatakan selepas kongres semalam – tentang perbincangan sepanjang kongres dan resolusi yang diangkat pada hujung kongres.
Tanya kanan, tanya kiri, tanya depan dan belakang, rata-rata berkata kebanyakannya usul lama yang dikitar semula.
“Sejak 30 tahun dulu masih macam itu,” kata seorang peserta, merujuk pada soalan-soalan yang dikemukakan semasa sesi dialog tetapi tidak sempat dijawab oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ketika diingatkan oleh Dr Mahathir – jangan tanya apa kerajaan boleh beri tetapi tanya apa yang mereka sendiri boleh buat untuk tingkatkan nasib Melayu dan bumiputera – tidak sampai beberapa minit selepas itu pun masih ada soalan yang sama: “Apa kerajaan boleh bantu?”
Perangai meminta-minta yang menganggap bantuan kerajaan itu sebagai suatu hak sudah mendarah daging dalam jiwa orang Melayu dan Bumiputera. Ini yang perlu dicairkan.
Ada juga bertanya di mana suara anak muda, kenapa tidak tampil bersuara pada kongres yang membicarakan masa depan yang akan mereka warisi nanti.
Kenapa mereka yang menjalani hidup hari ini terus mendalangi wacana dengan masalah yang mereka hadapi sendiri – sekarang – dan bukannya masalah untuk generasi masa depan?
Itu sebabnya resolusi itu diulang-ulang, dijaja dari satu kongres ke satu kongres – sehingga mereka terlupa sudah berapa kali sebenarnya mereka berkongres. – 2 September, 2018.
Komen