Duit 1MDB yang hilang disimpan di luar negara, menurut laporan


Skandal 1MDB melibatkan berbilion ringgit yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak serta beberapa individu yang rapat dengan beliau kini sedang disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018

PENYIASAT anti rasuah yang menyiasat kehilangan berbilion ringgit daripada 1Malaysia Development Berhad yang dipercayai lebih RM20 bilion berada dengan “beberapa individu” di luar negara. 

Wang berkenaan, dipercayai disembunyikan di lokasi yang tidak didedahkan di seluruh dunia, termasuk di Timur Tengah, pernah dibawa balik ke negara ini oleh individu berkenaan apabila diperlukan untuk “pelbagai kegunaan, termasuk pembiayaan politik” oleh kerajaan Barisan Nasional, lapor New Straits Times hari ini. 

AKhbar itu melaporkan pemindahan wang tunai luar biasa ke Malaysia menjadi sukar apabila beberapa negara dan agensi penguatkuasa undang-undang seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), sedang mengesan pergerakan wang berkenaan yang mereka percaya mempunyai kaitan dengan kehilangan berbilion wang 1MDB ketika skandal kewangan itu terbongkar. 

Akhbar itu berkata, rampasan terbaharu AS$12 juta (RM49.4 juta) daripada ketua perisik bekas perdana menteri Najib Razak dalam Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) serta tujuh pegawai tadbir dan diplomatik dalam jabatannya merupakan hasil daripada pengesanan itu. 

Akhbar itu juga berkata, pemerhati anti rasuah dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merancang untuk menyoal beberapa pegawai MEIO di luar negara bagi membantu siasatan mereka, untuk meengetahui bagaimana pegawai berkenaan berjaya mengelak daripada dikesan walaupun mereka membawa wang dalam jumlah yang besar. 

Bekas ketua pengarah MEIO, Hasanah Abdul Hamid dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk lanjutan perintah reman hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 September, 2018

“Salah satu sumber menyatakan….wang (daripada) dana 1MDB turut digunakan untuk membayar individu tertentu, syarikat dan personaliti media untuk pergerakan politik.”

Bekas ketua pengarah MEIO, Hasanah Abdul Hamid ditahan pada 29 Ogos lalu bersama beberapa orang pegawai PTD oleh SPRM yang menyiasat penyelewengan dana pilihan raya dari Jabatan Perdana Menteri. 

Hasanah, 61 tahun, kenalan rapat Najib, merupakan antara ribuan pegawai pro Najib yang dipecat daripada perkhidmatan awam selepas pilihan raya umum Mei lalu. 

Menurut SPRM, siasatan mungkin mengambil masa 2 bulan untuk selesai. – 2 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen