Kontraktor Bumiputera mahu agensi kerajaan henti bersaing


SM Amin Zaim Ibrahim

Pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini, mereka memberitahu kerajaan sepatutnya membantu kontraktor Bumiputera, bukan menyekat peluang mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

PARA usahawan Melayu dan Bumiputera kesal dengan tindakan kerajaan yang giat menyertai perniagaan melalui agensinya selama ini sehingga didakwa menyekat peluang golongan itu.

Mereka memberitahu Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sepatutnya membantu kontraktor Bumiputera.

Salah seorang perwakilan, Muhsin Abdullah turut mencadangkan supaya kongres menggariskan resolusi mendesak kerajaan supaya tidak terus menjalankan perniagaan dan bersaing dengan rakyat.

“Kerajaan tidak perlu berniaga. Berikan semua perniagaan kepada orang yang sepatutnya ahli-ahli perniagaan Melayu.

“Ini adalah resolusi yang sepatutnya. Pada pandangan saya kerajaan seharusnya bertindak sebagai pengawal selia dan pemudah cara sahaja,” katanya.

Perkara sama turut dibangkitkan Presiden Pakar Kontraktor Malaysia, Mohd Zuhdi yang mendesak kerajaan menghapuskan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjalankan perniagaan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion mendakwa terdapat GLC yang hanya mengambil untung atas angin. – Gambar Facebook, 1 September, 2018.

Katanya, projek yang dikerjakan syarikat milik kerajaan itu sepatutnya diserahkan kepada kontraktor yang layak.

Jelasnya, amat sukar untuk kontraktor lain bersaing dengan GLC atau agensi kerajaan kerana tidak mempunyai kekuatan modal yang besar.

“Macam mana kita hendak masuk tender kalau GLC atau agensi kerajaan ini masuk tender sekali dengan kita. Mustahil kontraktor kecil macam kita ini boleh bersaing dengan mereka.

“Adakah ini negara komunis? Kerajaan perlu bantu pimpin usahawan kemudian lepaskan (untuk berdikari). Bukannya bersaing dengan kontraktor pula,” katanya.

Turut sependapat dengan beliau Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion yang mendakwa terdapat GLC yang hanya mengambil untung atas angin.

Dakwanya, GLC tersebut menyerahkan projek kepada subkontraktor dengan harga yang jauh lebih murah selepas berjaya memenangi tender.

Menurut Tukiman lagi, kontrak itu diserahkan kepada kontraktor kerana sebahagian GLC atau agensi kerajaan tidak mempunyai pengalaman atau kemampuan untuk melaksanakannya.

Jelasnya, amalan itu menyebabkan kontraktor kelas F hanya mendapat kontrak kecil yang merugikan.

Oleh itu, kerajaan harus menghentikan amalan tersebut dan menyerahkan projek seperti baik pulik itu kepada jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya atau Jabatan Parit dan Saliran.

Kerajaan juga dicadangkan supaya mewujudkan semula Bank Bumiputra khususnya bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan. – Gambar AFP, 1 September, 2018.

“Kita perlu lihat balik dasar kerajaan sebelum ini yang hanya memberi projek kecil kepada pihak konsesi. Ini merugikan kepada kontraktor kelas F. Konsesi ini perlu dihentikan.

“Semua projek baik pulih hendaklah diserahkan kepada jabatan teknikal seperti JKR atau JPS. 

“Tidak perlu jabatan seperti Imigresen, jabatan agama Islam dan sebagainya melakukan kerja-kerja baik pulih kerana mereka ini tidak ada orang-orang teknikal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi usahawan mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan semula Bank Bumiputra khususnya bagi membantu usahawan ini mengembangkan perniagaan.

“Kongres Bumiputera yang pertama kita tubuhkan Bank Bumiputra tetapi 30 tahun selepas itu kita lupuskan. Sekarang ini mana institusi yang melihat kepada kewangan Bumiputera?

“Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya memikirkan dengan serius kembalikan Bank Bumiputera untuk kewangan Bumiputera,” ujarnya.

Bank Bumiputra digabungkan menjadi Bumiputra-Commerce Holdings pada 1999 dan seterusnya menjadi CIMB Bank yang wujud hingga kini. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen