Indonesia mahu jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032


Indonesia berhasrat untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032 selepas berjaya menganjurkan Sukan Asia 2018 baru-baru ini, kata Presiden Joko Widodo atau Jokowi. – Gambar EPA, 1 September, 2018.

INDONESIA berhasrat untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032 selepas berjaya menganjurkan Sukan Asia 2018 baru-baru ini, kata Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

“Indonesia merancang secepatnya untuk menawarkan diri sebagai calon tuan rumah Olimpik pada tahun 2032,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach dan Ketua Majlis Olimpik Asia Syekh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah di Istana Presiden dekat Jawa Barat, hari ini.

Menurut Jokowi, kedua-dua wakil Olimpik tersebut memuji usaha Indonesia dalam penganjuran Sukan Asia 2018 yang dilihat berjaya menarik penyertaan masyarakat dan sukarelawan dalam jumlah yang besar.

Oleh itu, katanya lagi, Indonesia yakin dapat menganjurkan acara berprestij yang berskala lebih besar melalui pengalamannya mengendalikan Asian Games.  

“Bukan hanya hal berkaitan dengan penyelenggaraan, yang beliau sangat menghargai penyertaan masyarakat, penyertaan dari sukarelawan yang dalam jumlah sangat besar yang mampu digerakkan, dan mampu diuruskan,” kata Jokowi. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen