Myanmar bebaskan 75 lagi askar kanak-kanak


Ia sebagai sebahagian daripada proses menamatkan kerahan paksa askar bawah umur, kata sebuah agensi PBB. – Gambar fail EPA, 1 September, 2018.

TENTERA Myanmar membebaskan 75 askar kanak-kanak, pembebasan pertama dalam tahun ini sebagai sebahagian daripada proses menamatkan kerahan paksa askar bawah umur, kata sebuah agensi PBB.

Tiada angka tepat mengenai jumlah kanak-kanak yang masih berada antara hampir 500,000 askar yang berkhidmat sebagai tentera Myanmar atau tentera pemberontak etnik yang berperang di wilayah sempadan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unicef pada Jumaat, tentera Myanmar telahpun membebaskan 924 kanak-kanak dan anak muda dari tentera sejak menandatangani perjanjian dengan PBB pada 2012.

Askar kanak-kanak yang dikeluarkan perlu menghadiri program reintegrasi supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa. Proses ini akan membawa kepada keamanan yang berterusan di Myanmar dan menjadikan mereka warganegara yang produktif, kata kenyataan itu lagi.

Menurut pakar, kanak-kanak akan terus berisiko diambil sebagai askar selagi tentera dan pemberontak bersenjata terus berperang di Myanmar.

Kebiasaannya, kanak-kanak ini diculik atau diambil secara paksa di taman dan stesen kereta api di bandar, kemudian diancam dipenjarakan jika enggan menurut perintah.

Tambah Unicef lagi, masih ada pasukan yang merekrut askar kanak-kanak termasuk Tentera Kemerdekaan Kachin dan Tentera Shan - dua kumpulan etnik yang masih berperang dengan tentera Myanmar. – AFP, 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen