Tak pernah ada gandingan seperti saya dan Dr Mahathir dalam sejarah, kata Anwar


Beliau tahu dan saya juga tahu. Kami tak akan benarkan apa sahaja merosakkan rancangan ini. Ia adalah rancangan untuk kesejahteraan rakyat dan menumpaskan sentimen negatif, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

KETUA PKR Anwar Ibrahim berkata beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedar keunikan hubungan silam dan semasa mereka, tetapi komited tidak akan membiarkan ia jadi penghalang matlamat bersama membina Malaysia Baharu.

Dalam satu wawancara bersama akhbar The New Straits Times, Anwar berkata sebagai bekas musuh yang kini sekutu mereka telah melepasi pelbagai cabaran menumpaskan Barisan Nasional dan tidak akan menggadaikan peluang mentadbir negara kali ini.

“Bila tiba soal Tun Dr Mahathir dan saya, dalam aspek hubungan rapat, tidak pernah wujud lagi seperti itu dalam sejarah,” kata Anwar.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana dua sosok bertempur begitu hebat.

“Sekarang, kami sudah berdamai, perubahan boleh berlaku di bawah pentadbiran baharu yang akan memenuhi aspirasi rakyat.

“Beliau tahu dan saya juga tahu. Kami tak akan benarkan apa sahaja merosakkan rancangan ini. Ia adalah rancangan untuk kesejahteraan rakyat dan menumpaskan sentimen negatif.”

Anwar adalah timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir lebih 20 tahun lalu sebelum dipecat pada 1998, didakwa dan dipenjarakan kerana jenayah korupsi dan liwat. Beliau mendakwa kedua-dua pertuduhan itu adalah cubaan menghapuskan cabaran politik kepada Dr Mahathir.

Pemecatan Anwar oleh Dr Mahathir mengubah landskap politik negara sejak dua dekad lalu apabila melahirkan gerakan Reformasi dan penubuhan Keadilan yang kini dinamakan sebagai PKR.

Bagaimanapun, kedua-duanya berdamai pada 2016 apabila Anwar menyokong bekas musuhnya itu menjadi ketua Pakatan Harapan dalam perjuangan menumbangkan Najib Razak.

Pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998 melahirkan PKR yang jadi antara penggerak utama perubahan landskap politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

Dalam wawancara itu, Anwar berkata beliau percaya tidak ada rancangan yang boleh boleh menghalang beliau menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir dan akan terus memberi sokongan penuh kepada negarawan berusia 93 tahun itu.

“Bagi saya, perkara positif adalah akses kepada PM sangat mudah dan saya bukan sekadar berjumpa (Dr Mahathir) untuk bincang soal kerja atau projek selama 20 atau 30 minit.

“Kami ada perbincangan hati ke hati tentang isu kepimpinan negara dan kebimbangan negara, tentang sentimen kaum dan kesannya kepada orang Melayu dan dasar (negara),” katanya.

“Saya tak fikir selepas lalui kemelut politik yang sangat hangat Dr Mahathir akan halang saya (untuk jadi perdana menteri).”

Anwar juga berkata tiada jangka masa ditetapkan untuk peralihan kuasa berlaku, tetapi perdana menteri sekarang perlu dibenarkan untuk “menjalankan tuga negara tanpa masuk campur atau tekanan.”

“Persoalannya tanpa tempoh masa, adakah beliau (Dr Mahathir) akan berundur?

“Beliau sudah berusia 93 tahun dan sudah beri pendirian jelas yang tugas utamanya sekarang adalah untuk memastikan perubahan negara dan peralihan kuasa berlaku secara aman, dan janji awal untuk perubahan dan reformasi berlaku.

“Saya rasa kita terima sahaja apa yang sudah diberitahu.” – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen