Jangan mohon kontrak semata-mata untuk jual, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim SM Amin

Bumiputera perlu ubah sikap menjadi rajin berusaha dan menggunakan peluang sebaiknya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada usahawan Bumiputera agar meninggalkan amalan buruk menjual kontrak yang sering dikaitkan dengan golongan tersebut.

Katanya kerajaan akan bertindak tegas terhadap usahawan atau syarikat yang mengambil jalan mudah dengan menjual atau memindahkan kontrak yang diperolehi kepada pihak lain.

“Jika seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah yang akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal, minta maaf,” kata perdana menteri.

Beliau turut menasihati kontraktor yang tidak berkeupayaan supaya mencari alternatif lain dan tidak memilih jalan mudah memohon kontrak untuk dijual.

“Kalau tiada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak kalau kita tidak boleh. 

“Kalau niat kita hanya hendak menjual kontrak yang kita dapat, maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 pagi ini yang antara lain bertujuan meraih padangan dan idea baru untuk membantu golongan itu.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

Beliau juga berkata kerajaan boleh melakukan pelbagai cara untuk menghalang amalan tidak baik itu.

“Tetapi kalau kita menjual peluang kita, yang kaya adalah orang lain, bukan kita. Tabiat ini mesti dihapuskan. 

“Kita mesti sanggup apabila dapat peluang mengguna peluang itu habis-habisan. Kalau dapat biasiswa belajar betul-betul. Kalau dapat kontrak, usahakan kontrak itu sendiri. 

Beliau berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 pagi ini yang antara lain bertujuan meraih padangan dan idea baru untuk membantu golongan itu.

Ia turut bertujuan mengenalpasti bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh bumiputera dan juga menjalinkan kerjasama pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan Bumiputera. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen