SATU-SATUNYA lapangan terbang yang beroperasi di Tripoli, Libya menggantung semua penerbangan pada Jumaat, kata sumber selepas pertempuran ganas berhampiran bandar itu yang membunuh sekurang-kurangnya 39 orang minggu ini.
Ratusan lagi cedera dalam pertempuran antara militia yang bermusuh, yang tercetus pada Isnin di selatan pinggir bandar Tripoli, menurut jumlah terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Jumaat.
Pertempuran dihentikan seketika pada Khamis susulan gencatan senjata, tetapi bersambung semula pada petang dan berterusan sehingga Jumaat.
Saksi dan pihak berkuasa Libya berkata roket dan motar terkena beberapa kawasan sekitar bandar menyebabkan kecederaan orang awam.
Beberapa roket pula terkena lapangan terbang Mitiga memaksa pihak berkuasa menangguhkan semua penerbangan sekurang-kurangnya untuk 48 jam atas sebab keselamatan, kata pegawai lapangan terbang.
PBB di Libya berkata “ia mengutuk sekeras-kerasnya kehilangan nyawa orang awam” di bandar itu dan menggesa semua pihak terlibat mengelak kehilangan nyawa dan meletak senjata dalam satu kenyataan di Twitter.
Penerbangan dialihkan sementara ke lapangan terbang di Misrata, hampir 200 kilometer di timur Tripoli, kata sumber.
Ibu kota Libya menjadi pusat pertempuran antara kumpulan bersenjata setelah kejatuhan diktator Moamer Kadhafi pada 2011.
Mitiga adalah bekas lapangan terbang tentera yang dibuka untuk penerbangan awam selepas lapangan terbang antarabangsa Tripoli musnah pada 2014. – AFP, 1 September, 2018.
Komen