Arab Saudi mahu jadikan Qatar ‘pulau’


Rancangan itu akan memisahkan semenanjung Qatar secara fizikal dari tanah besar Arab Saudi adalah tindakan terbaru dalam kemelut diplomatik dan ekonomi antara dua negara yang sudah masuk bulan ke-14.– Gambar EPA, 1 September, 2018.

SEORANG pegawai Arab Saudi pada Jumaat memberi petunjuk yang negara itu akan meneruskan rancangan menggali terusan yang akan menjadikan negara jirannya, Qatar kepada sebuah pulau, ketika kemelut antara negara Teluk masih tidak menunjukkan penyelesaian.

“Saya tidak sabar menanti butiran pelaksanaan projek pulau Salwa, projek mega dan bersejarah yang akan mengubah geograsi rantau ini,” kata Saud al-Qahtani, penasihat kanan kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman menerusi Twitter.

Rancangan itu akan memisahkan semenanjung Qatar secara fizikal dari tanah besar Arab Saudi adalah tindakan terbaru dalam kemelut diplomatik dan ekonomi antara dua negara itu yang sudah masuk bulan ke-14.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan ikatan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar pada Jun 2017, menuduhnya menyokong pengganas dan terlalu rapat dengan musuh ketat Riyadh, Iran. Semua dakwaan yang dinafikan Doha.

Pada April, portal berita pro kerajaan melaporkan rancangan Arab Saudi membina saluran itu-sepanjang 60 kilometer dan 200 meter luas- di sepanjang sempadan negara itu dengan Qatar.

Sebahagian terusan itu yang dijangka menelan belanja AS$750 juta akan dikhususkan untuk fasiliti sisa nuklear, katanya.

Lima syarikat tidak dinamakan sudah dijemput untuk membida projek itu dan pemenang akan diumumkan pada September, lapor akhbar Mekah pada Jun.

Pihak berkuasa Arab Saudi tidak memberi jawapan kepada pertanyaan berhubung rancangan itu dan masih tiada kenyataan dikeluarkan Qatar.

Selepas kemelut tercetus tahun lepas, Qatar, negara kecil tetapi kaya di rantau Teluk menyaksikan sempadan darat ditutup, syarikat penerbangan dihalang menggunakan ruang udara jiran, dan warga Qatar diusir dari negara yang memboikotnya.

Usaha perdamaian diketuai Kuwait dan AS yang mempunyai pangkalan tentera udara terbesar di Timur Tengah setakat ini gagal mencari jalan penyelesaian. – AFP, 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen