Menteri tak boleh lagi lantik pegawai sesuka hati


Mohd Farhan Darwis

Menteri baharu dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad kini terpaksa mengikut peraturan tidak lagi dibenarkan menggunakan khidmat pegawai yang ramai seperti pentadbiran terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

MENTERI baharu dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad kini terpaksa mengikut peraturan tidak lagi dibenarkan menggunakan khidmat pegawai yang ramai seperti pentadbiran terdahulu.

Setiap menteri berkenaan kini hanya dihadkan untuk melantik tidak lebih daripada 10 orang pegawai sahaja, kata seorang sumber kakitangan kementerian.

“Zaman sekarang ikut buku, setiap menteri hanya diperuntukkan seorang setiausaha akhbar, dan tiga pegawai khas, sedangkan ada menteri kanan dahulu mempunyai sehingga 35 orang pegawai,” kata sumber. 

Menurut pegawai tersebut, beliau juga tidak mengetahui bagaimana pegawai lantikan politik yang begitu ramai semasa pentadbiran Najib Razak itu dibiaya kerana kementerian tiada peruntukan seperti itu.

“Itu pun bukan kementerian yang bayar gaji mereka, ada syarikat yang bayar ke macam mana, kita tak tahulah, kalau ikut kementerian memang tiada peruntukan,” katanya lagi. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menamatkan tugas 17,000 orang pegawai lantikan politik daripada pentadbiran sebelumnya, sebaik mengangkat sumpah jawatan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

Beliau dapat melihat bahawa menteri terdahulu menugaskan ramai pegawai apabila melihat begitu banyak bilik dan kerusi kosong yang pernah menjadi tempat pegawai terbabit.

“Di sebelah saya ada kerusi kosong, di hadapan saya pun ada kerusi kosong, bila tanya kementerian, tiada peruntukan untuk perjawatan,” katanya. 

Satu sumber lain pula mendedahkan, ketetapan baharu ini memberi kesan kepada menteri tertentu yang berasa tidak cukup pegawai.

Jika menteri itu mahu menambah bilangan pegawai, mereka harus mendapatkan kebenaran daripada Dr Mahathir sendiri, katanya.

“Sekarang menteri memang rasa pegawai tak cukup tapi takkan menteri nak bayar sendiri pegawai dia? jadi kita tak isi (jawatan),” katanya.

Sumber The Malaysian Insight bagaimanapun berkata, pengurangan pegawai itu tidak memberikan kesan kepada perjalanan tugas mereka.

Ketetapan baharu oleh Dr Mahathir itu untuk mengehadkan jumlah pegawai lantikan menteri itu diumumkan sebagai salah satu langkah untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Selari dengan langkah penjimatan tersebut, Dr Mahathir turut menamatkan tugas 17,000 orang pegawai lantikan politik daripada pentadbiran sebelumnya, sebaik mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.

Ekoran sekatan Dr Mahathir Mohamad, segelintir menteri yang mahu memberikan jawatan kepada penyokong parti sebagai ganjaran juga dilaporkan gagal berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

Ekoran sekatan Dr Mahathir itu juga, segelintir menteri yang mahu memberikan jawatan kepada penyokong parti sebagai ganjaran juga dilaporkan gagal berbuat demikian.

Beliau dilaporkan mengeluarkan surat pekeliling ke pejabat semua menteri dan timbalan menteri sebagai peringatan bahawa gaji pegawai lantikan mesti selari dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun 2012.

Pekeliling JPA menyatakan bahawa seorang menteri hanya boleh melantik seorang pegawai tugas-tugas khas, seorang setiausaha sulit kanan dan seorang setiausaha akhbar, selain kakitangan sokongan.

Ia turut menetapkan bahawa pegawai yang dilantik ke Gred 54 boleh memperoleh gaji maksimum RM10,000 sebulan termasuk elaun.

Menurut sumber, rungutan pegawai lantikan baharu menteri kini lebih kepada masalah tunggakan gaji sehingga tiga bulan, ekoran peraturan yang diamalkan kerajaan BN.

“Masalahnya prosedur biasa kerajaan, (selepas) tiga bulan (lantikan) barulah dapat gaji pertama… Cuma itu peraturan dulu,” katanya.

Tambahnya, pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan ini sepatutnya tidak lagi mengalami masalah sama.

“Kerajaan baharu, takkan (pegawai tunggu tunggakan gaji) tiga bulan lagi. Cumanya sekarang semua dah dapat gaji kecuali ada kesilapan di mana-mana,” kata sumber lagi. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen