China bidas laporan PBB berhubung isu penindasan etnik Uighur


Seorang wanita etnik Uighur bersama anak-anaknya melintasi barisan tentera yang dikerah mengawal keselamatan di wilayah Xinjiang. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2018.

CHINA menyelar laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa Beijing melancarkan operasi antikeganasan untuk menahan etnik Uighur di kem tahanan rahsia.

Laporan PBB itu menggesa kerajaan China untuk membebaskan kira-kira sejuta tahanan etnik Uighur dan penduduk minoriti Islam lain di kem tahanan di wilayah Xinjiang.

“Tiada data rasmi menunjukkan jumlah tahanan di kem tersebut atau mereka yang dipaksa menghabiskan tempoh tertentu di kem itu hanya semata-mata mereka mengamalkan kepercayaan Islam,” jelas laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa PBB untuk Membasmi Diskrimasi Perkauman.

Namun Beijing membidas laporan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berasas.

“Laporan itu yang berpandukan maklumat yang belum dapat disahkan dan tidak mempunyai asas,” kata jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying hari ini.

Chunying berkata China bertindak sewajarnya untuk memerangi ancaman puak pelampau dan keganasan di Xinjiang.

“Tahap keselamatan dan keperluan penduduk di Xinjiang adalah terjamin,” katanya.

“Setiap langkah keselamatan yang diambil, turut digunapakai oleh kebanyakan negara lain di seluruh dunia.”

Pihak berkuasa China sering menafikan kewujudan kem tahanan rahsia walaupun bukti berhubung perkara itu semakin jelas berdasarkan pengakuan mangsa tahanan dan dokumen rasmi.

China meningkatkan operasi membanteras keganasan di Xinjiang dengan menyalahkan kewujudan puak pelampau Islam dan kumpulan pemisah di wilayah itu.

Malah Beijing turut melarang penduduk Islam menyimpan janggut atau memakai tudung selain tidak membenarkan pengedaran al-Quran tanpa kelulusan.

Beijing mempertahankan polisi keselamatan itu dengan alasa membawa keamanan dan kestabilan di wilayah itu. – AFP, 31 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen