PEGUAM kepada Hasanah Abdul Hamid memberi amaran kepada pemimpin Umno, Lokman Adam agar tidak memberi kenyataan melulu berhubung kes dihadapi bekas ketua agensi perisik rahsia itu.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Lokman tidak menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan bahawa Hasanah mengutus surat kepada perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).
“Saya beri amaran kepada Lokman Noor Adam untuk diam dan jangan memandai-mandai memberikan kenyataan kepada media tentang anakguam kami berkaitan surat kepada CIA berkenaan.
“Anakguam kami tidak pernah berkomunikasi dengan LNA (Lokman) berkaitan hal ini,” katanya dalam satu kenyataan,”
Azam mengulas kenyataan Lokman hari ini yang dilaporkan menyebut, utusan surat itu satu kesalahan sekiranya terbukti Hasanah memohon bantuan CIA untuk mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kata Lokman, pihak berkuasa wajar menyiasat bekas pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) itu dan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.
“Bagi saya kalau ketua perisik tulis surat kepada CIA itu adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
“Tapi kita harap pihak berkuasa siasat. Kalau betul memang dia sengaja menulis surat itu, kita kena ambil tindakan.
“Kita tak boleh bertoleransi dengan mana-mana pengkhianat negara,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.

Bagaimanapun, Lokman juga mendakwa surat bertarikh 4 Mei kepada pengarah CIA Gina Haspel itu mungkin menunjukkan Hasanah disabotaj oleh orang bawahannya.
“Saya (dapat) maklumat daripada belah dia (Hasanah) yang mengatakan bahawa orang bawah dia yang mainkan dia,” dakwanya ketika bercakap kepada media hari ini.
Hasanah bersama tujuh anak buahnya kini direman lima hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta).
Beliau dan tujuh pegawai diplomatik berkenaan bertugas di unit penyelidikan yang dikenali dengan nama rahsia Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) di Jabatan Perdana Menteri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas wang sebanyak AS$6.3 juta (RM25.9 juta) daripada beberapa lokasi dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana dilakukan bekas pegawai perisik kerajaan itu.
Penemuan paling besar, berjumlah AS$4.07 juta (RM16.75 juta) ditemui di sebuah kondominium yang disewa di Cyberjaya pada Rabu malam lalu, pada hari penahanan dibuat.
SPRM mendedahkan, ia merupakan sebahagian daripada wang berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta) yang disyaki diseleweng oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan dibawa masuk ke dalam negara sebelum pilihan raya ke-14.
Hasanah dan tujuh lagi pegawai tersebut dinamakan sebagai suspek dalam skandal berkenaan.
SPRM masih mengesan baki AS$1.63 juta (RM6.7 juta) wang tersebut dan menggesa orang ramai serta penjawat awam yang mempunyai maklumat atau menyimpan wang terbabit untuk tampil membantu siasatan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa. – 31 Ogos, 2018.
Komen