Bekas PM Australia letak jawatan sebagai ahli Parlimen


Bekas perdana menteri Australia Malcolm Turnbull digulingkan oleh kumpulan konservatif dalam Parti Liberal selepas beliau enggan melepaskan jawatannya. – Gambar fail EPA, 31 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini secara rasmi meletak jawatan sebagai ahli Parlimen, sekali gus bakal menyaksikan pilihan raya kecil di Sydney.

Tindakan Turnbull itu juga bakal menggugat kedudukan kerajaan yang hanya memiliki kelebihan majoriti satu kerusi sahaja.

Bekas perdana menteri berusia 63 tahun itu digulingkan oleh kumpulan konservatif dalam Parti Liberal selepas beliau enggan berganjak walaupun didesak untuk melepaskan jawatan.

Perdana Menteri baharu Scott Morrison bagaimanapun memberi penghargaan atas keputusan Turnbull yang disifatkan sebagai mewariskan legasi yang mempunyai pencapaian hebat.

“Persaraan Turnbull menyaksikan khidmat beliau selama 14 tahun kepada rakyat Australia dan penduduk di kawasannya, Wentworth, termasuk ketika berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Parti Liberal mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan beliau dalam menjaga kepentingan negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan walaupun ketika berdepan kesulitan.

Turnbull disingkirkan selepas hampir tiga tahun dicabar oleh Menteri Dalam Negeri Peter Dutton dan dijangka tidak berdepan masalah untuk menjalani kehidupan sebagai orang awam.

Ini kerana beliau merupakan salah seorang ahli Parlimen paling kaya walaupun kehidupannya bermula sebagai wartawan kemudian menjadi pekerja bank, peguam dan ahli perniagaan.

Keputusan Turnbull untuk bersara akan menyaksikan pilihan raya kecil akan diadakan di Sydney seawal Oktober. – AFP, 31 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen