TIDAK seperti di Semenanjung, Hari Merdeka di Sarawak sunyi sahaja melainkan Ketua Menteri Abang Johari Openg mengadakan majlis minum teh di Miri dan kibaran Jalur Gemilang di sekolah.
Ini selari dengan pendirian negeri bahawa 31 Ogos adalah Hari Kemerdekaan Malaya dan ia tiada kena mengena dengan Sarawak.
Menurut Timbalan Ketua Menteri James Masing kepada The Malaysian Insight, ini sebagai langkah pertama supaya rakyat Sarawak berhenti berfikir bahawa ia tarikh yang istimewa bagi mereka.
“Kami, termasuklah diri saya sendiri, telah diajar sejak 55 tahun lalu bahawa 31 Ogos ialah Hari Merdeka, hari di mana Malaysia merdeka (dari pemerintahan British). Cukuplah,” katanya.
Masing juga kecewa apabila membaca laporan berita mengenai pelajar di sekolah-sekolah Sarawak mengambil bahagian dalam acara “Hari Merdeka” atau acara bersempena “Kemerdekaan Malaysia ke-61”.
Penyelewengan terhadap sejarah ini katanya hanyalah “sebahagian daripada usaha Malaya” untuk menjajah dan membasuh minda anak-anak ini.

Sarawak berkali menegaskan bahawa Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963 baru berusia 55 tahun dan tidak pernah dijajah oleh mana-mana negara lain sebagai sebuah negara tunggal, walaupun Malaya, Sarawak dan Sabah secara berasingan dijajah oleh British.
Tambahnya lagi, Sarawak juga berhasrat untuk menjadikan Hari Malaysia dan tarikh 16 September sebagai hari penting dalam kalendar negara.
Kemudian, Sarawak akan perbetulkan penyelewengan sejarah dan pembasuhan minda di sekolah-sekolah di negeri itu dengan “mengubah sukatan pelajaran mengenai Hari Kemerdekaan Malaysia”.
Dua minggu lalu, Masing berkata rakyat Sarawak tidak perlu menyambut 31 Ogos sebagai Hari Merdeka kerana ia tiada kena mengena dengan mereka, sebaliknya hari kemerdekaan bagi Malaya.
Beliau juga mempersoalkan pengibaran Jalur Gemilang dan penganjuran acara bersempena 31 Ogos. – 31 Ogos, 2018.

Komen